Jumaat, 24 November 2017 | 2:18pm
KETUA Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna CIMB Group, Samir Gupta. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

CIMB perintis terima kelulusan sandbox

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd mengorak langkah ke hadapan dalam perbankan digital dengan menjadi bank pertama di Malaysia menerima kelulusan sandbox kawal selia bagi elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC) untuk meningkatkan perkhidmatan perbankan penggunanya.

e-KYC ialah kaedah elektronik dan tanpa kertas untuk mengesahkan identiti pelanggan, yang bakal menjadi pengganti berdaya maju bagi keperluan pengesahan bersemuka sedia ada dalam dunia mudah alih yang semakin pantas berkembang pada hari ini, kata CIMB dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna CIMB Group, Samir Gupta berkata, e-KYC akan meningkatkan dan mentransformasi bahagian digital CIMB yang sudah sedia kukuh, yang ketika ini memudahkan lebih daripada 95 peratus urus niaga pelanggan menerusi platform digital dan layan diri.

"e-KYC direka bagi memudahkan pelanggan dan akan menjadi tambahan kepada kelulusan dalam talian sedia ada bagi kad kredit, yang tidak lagi memerlukan mereka datang ke cawangan," katanya.

Gupta berkata, pelanggan baharu bank itu boleh memohon kad kredit dan pinjaman peribadi menerusi laman web bank itu, di mana pelanggan sedia ada boleh berbuat demikian menerusi portal perbankan dalam talian popular, CIMB Clicks, atau menerusi rangkaian mesin ATM di seluruh negara.

Ini, katanya, mewujudkan pelbagai saluran bagi memudahkan pelanggan dan menyediakan akses pantas dan mudah kepada produk perbankan yang mereka perlukan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.

"Landskap perbankan digital telah dibentuk semula ekoran penggunaan mudah alih yang tinggi dan semakin berkembang pesat.

"Sebagai satu daripada bidang tumpuan di bawah Strategi T18 kumpulan, kami telah menambah baik dan meningkatkan pengalaman perbankan digital kami yang sudah dinikmati oleh pelanggan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

"Tidak lama lagi, kami juga kami juga akan meluaskan tawaran perbankan digital kami ke pasaran baharu, Vietnam dan Filipina," kata Gupta.

Susulan liberalisasi sektor perbankan Filipina pada 2014, CIMB menjadi kumpulan perbankan Malaysia pertama menerima kelulusan daripada Monetary Board of the Bangko Sentral ng Pilipinas, pada 16 November lalu, untuk menubuhkan operasi milik sendiri dengan kuasa perbankan penuh.

CIMB Bank adalah cabang perbankan konsumer CIMB Group, menawarkan perkhidmatan perbankan runcit dan komersial. - BERNAMA

Berita Harian X