Isnin, 27 November 2017 | 2:21pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Mamee, Tan Sri Pang Tee Chew (tiga kiri) bertukar dokumen dengan Presiden Shinsegae Food, Choi Sung Jei pada majlis menandatangani perjanjian usahasama antara Mamee dan Shinsegae Food di Ibu Pejabat Mamee, Ayer Keroh, Melaka. - Foto Khairunisah Lokman

Mamee labur RM50j perkenal mi segera Korea

MAMEE-Double Decker (M) Bhd (Mamee), pengeluar industri makanan dan minuman melabur RM50 juta untuk membangunkan kilang dan kegiatan promosi produk terbarunya yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi, mi segera Korea.

Bagi pengenalan produk mi segera halal itu, syarikat berkenaan bekerjasama dengan syarikat pembekal makanan dari Korea, Shinsegae Food.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mamee, Tan Sri Pang Tee Chew, berkata perjanjian usahasama itu secara tidak langsung bakal memenuhi populariti makanan Korea yang semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi untuk makanan halal di pasaran global.

Menerusi kerjasama itu juga, katanya, syarikat usahasama dikenali Shinsegae Mamee Sdn Bhd itu akan memasarkan makanan segera terbabit bagi kedua-dua negara, selain pasaran di Indonesia dan Thailand.

"Mamee melihat populariti makanan Korea, terutama mi segera yang semakin meningkat dan mendapat permintaan tinggi untuk makanan halal dalam pasaran global.

"Shinsegae Food adalah peneraju dalam perkhidmatan makanan dan pembuatan makanan, manakala kita (Mamee) pula menjadi jenama isi rumah terkenal dengan lebih 40 tahun berpengalaman dalam menghasilkan kualiti makanan dan minuman halal.

"Diharapkan usahasama ini dapat membantu melonjakkan aspirasi Mamee ke arah menjadi pembekal makanan halal di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian usahasama antara Mamee dan Shinsegae Food dengan disaksikan Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Dr Yu Hyun Seok di Ibu Pejabat Mamee, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Shinsegae Food, Choi Sung Jei.

Sementara itu, Sung Jei berkata, syarikat berkenaan mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pembuatan makanan, selain mengendalikan perniagaan restoran dan kedai roti sepanjang tempoh 20 tahun.

"Kedua-dua pihak hari ini membangunkan syarikat usahasama bagi mempromosikan makanan Korea yang asli, sekali gus memudahkan pertumbuhan makanan Korea yang halal di Malaysia dan juga Asia Tenggara,"katanya.

Berita Harian X