Rabu, 29 November 2017 | 6:45pm

Inisiatif perniagaan baharu pacu pertumbuhan MPB

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima), kumpulan media bersepadu terunggul di Malaysia, yakin inisiatif perniagaan baharu yang dilancarkan menerusi pelan transformasi perniagaan kumpulan pada 2016 adalah pemangkin pertumbuhan masa depan.

Menerusi pelan itu, sumbangan hasil perolehan Media Prima daripada pengiklanan dan perdagangan digital dan bukan tradisional meningkat dua kali ganda bagi sembilan bulan pertama 2017 (YTD17) berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan gabungan daripada pengiklanan digital, perniagaan beli-belah di rumah, e-dagang dan perkhidmatan langganan berasaskan 'over-the-top' (OTT) meningkat daripada RM50 juta kepada RM123 juta untuk YTD17.

Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Ismee Ismail, berkata Media Prima komited memberikan nilai kepada pemegang saham kumpulan itu dengan memanfaatkan peningkatan permintaan e-dagang dan kandungan digital dalam kalangan pengguna.

"Media Prima terus menyesuaikan diri dengan persekitaran operasi yang semakin mencabar dan berdaya saing, menerusi pelaksanaan pelan transformasi perniagaan yang fokus terhadap penyampaian aliran pendapatan baharu.

"Syarikat turut melaksanakan perubahan struktur dalam organisasi bagi meningkatkan kecekapan.

"Kami percaya pelan itu membolehkan Media Prima menambah baik struktur kos kami dan mewujudkan nilai dalam jangka masa pendek dan sederhana," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kamal Khalid, berkata Media Prima sudah melaksanakan inisiatif perniagaan baharu dan membuat perubahan struktur utama dalam organisasi serta melabur secara strategik dalam keupayaan penerbitan digital menerusi pemerolehan strategik Rev Asia pada Ogos lalu.

"Media Prima memperluaskan perkhidmatan pengguna seperti 'tonton' ke Singapura dan Brunei, manakala Primeworks Studios berjaya menjual kandungan video kepada pembekal OTT global seperti Netflix dan Iflix," katanya.

Bagi suku tahun ketiga berakhir 30 September 2017, Media Prima mencatat penurunan lapan peratus perolehan berbanding tempoh kewangan sama sebelumnya.

Ia disebabkan jualan akhbar dan pengiklanan yang rendah berikutan peralihan kepada media digital dalam kalangan pengguna.

Media Prima merekodkan Kerugian Selepas Cukai (LAT) tahun kewangan semasa (YTD) sebanyak RM284.9 juta berbanding RM71.6 juta bagi tempoh sama pada 2016.

Ia berikutan penurunan pelaburan dalam syarikat sekutu dan bayaran Skim Persaraan Awal (ERS) yang berlangsung masing-masing pada suku tahun kedua dan ketiga.

Jika penurunan pelaburan dalam syarikat bersekutu dan bayaran ERS dikecualikan, kumpulan mencatat LAT yang lebih rendah iaitu RM90.2 juta.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X