Isnin, 18 Disember 2017 | 12:12pm

Kempen #AirAsiaOpenDoors

SEPANG: AirAsia Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, melancarkan Kempen #AirAsiaOpenDoors sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-16.

Kempen bermula hari ini hingga 14 Januari depan. AirAsia mempelawa pelanggan untuk mengikuti perjalanan unik dan mencabar mereka mencari 16 pintu tersembunyi di seluruh Malaysia, dengan mengambil gambar mereka di pintu berkenaan.

Peserta perlu memuat naik gambar itu di Instgram berserta tanda pagar yang diberikan bagi mendapatkan mata dan berpeluang untuk memenangi lebih dua juta Mata Ganjaran BIG.

Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee, berkata AirAsia berkembang dengan pesat iaitu bermula dengan hanya dua pesawat, kini memiliki lebih 200 pesawat yang sudah menerbangkan lebih daripada 400 juta tetamu.

"Kami berbangga kerana membuka laluan ke lebih 130 destinasi dengan rangkaian yang luas, termasuk bandar yang belum diterokai.

"Kini, semua orang boleh terbang terus ke permata tersembunyi ASEAN seperti Sihanoukville, Davao, Nha Trang dan Luang Prabang.

"Kami berharap pelanggan kami akan terus menimba pengalaman luas biasa bersama AirAsia melalui kempen #AirAsiaOpenDoors serta menerokai sempadan baharu di ASEAN dan seluruh Asia," kata dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, AirAsia menghargai pelanggan yang sentiasa menyokongnya dan akan terus menyediakan pengalaman penerbangan terbaik untuk tetamu, dengan tambang yang rendah serta rangkaian produk digital, seperti ROKKI dan ROKKIshop.com.

Peserta kempen boleh mengumpul lebih banyak mata menerusi aktiviti dalam talian lain seperti berkongsi, mengundi, dan mendapat undian untuk meningkatkan kedudukan.

Pada akhir pertandingan, seramai 186 peserta teratas berpeluang memenangi hadiah utama, iaitu satu juta Mata Ganjaran BIG.

Maklumat lanjut mengenai kempen #AirAsiaOpenDoors boleh didapati dengan melayari opendoors.airasia.com.

Sempena meraikan ulang tahun ke-16, AirAsia bekerjasama dengan UnionPay sebagai rakan kongsi utama kempen berkenaan.

Mulai hari ini hingga 28 Februari 2018, pemegang kad UnionPay boleh menikmati diskaun tambahan sebanyak 10 peratus, untuk semua promosi dalam talian AirAsia melalui halaman eksklusif, bagi tempoh perjalanan dari 3 Januari 2018 sehingga 30 Januari 2019, tertakluk kepada terma dan syarat.

Berita Harian X