Rabu, 20 Disember 2017 | 1:47pm

Brahim's perkenal Pek Kembara

BANGI: Kumpulan Brahim's memperluaskan rangkaian produknya dengan memperkenalkan Pek Kembara bagi meneroka pasaran makanan untuk aktiviti lasak dan pelancongan.

Pengarah Kumpulan Brahim's Dewina, Nur Fatin Ibrahim, berkata Pek Kembara ditawarkan dalam tiga set berbeza iaitu set satu hidangan, set makanan seharian ayam dan set makanan seharian daging.

"Pengenalan pek ini bersesuaian dengan aktiviti lasak yang digemari generasi muda masa kini.

"Selain kedai aktiviti luar, kami juga menerima maklum balas dan permintaan menggalakkan daripada persatuan pendaki dan pengembara yang mahukan kami membekalkan produk rangsum (catuan) sebagai bekalan makanan untuk aktiviti mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pek Kembara Brahim's, di sini, hari ini.

Nur Fatin berkata, sebelum ini syarikatnya sudah menghasilkan produk berteknologi retort atau pembungkusan makanan yang dicipta dengan pemprosesan aseptik diperbuat daripada pelbagai lapisan fleksibel, untuk kegunaan tentera selama 30 tahun.

Kali ini pek seumpamanya diperkenalkan kepada pengguna.

Setiap pek kembara itu dilengkapi dengan makanan seharian pengguna bagi tiga makanan berat iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Ia turut disertakan bersama snek iaitu bubur pulut hitam, biskut, jem dan set minuman serta sudu dan garfu.

Harga jualan bagi set seharian ayam (RM30); set seharian daging (RM33) dan set satu hidangan (RM14).

1839 dibaca
DARI kiri: Pengurus Pemasaran Dewina Trading, Fazil Othman; Pengarah Dewina Holdings Sdn Bhd, Dr Hiryati Abdullah dan Nur Fatin melancarkan Pek Kembara Brahim's di Bangi. - Foto Saifullizan Tamadi
KAKITANGAN Kumpulan Brahim's, Sara Syazwana Zulkeflee menunjukkan Pek Kembara Brahim's yang dilancarkan hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »