Khamis, 21 Disember 2017 | 8:00am
AB Aziz melancarkan kempen 'Pay It Forward' (Balas Kebaikan dengan Kebaikan) dan turut bersama Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali (kiri) dan Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Zainol Mohd Isa (kanan) di KLIA. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Tandas 5 bintang di KLIA, klia2

SEPANG: Tandas adalah kemudahan awam paling asas dan keadaannya mencerminkan sejauh mana infrastruktur lain dijaga, sekali gus meningkatkan imej negara di mata masyarakat dunia.

Atas kesedaran mengenai hakikat itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil inisiatif menganjurkan kempen 'Pay It Forward' yang menekankan mengenai kepentingan penjagaan kebersihan tandas awam di lapangan terbang.

Dengan 'tagline' 'Kan hebat jika kita bertimbang rasa? Balas kebaikan dengan kebaikan', inisiatif itu diharap dapat membuka mata dan memberi kesedaran kepada umum terutama rakyat negara ini betapa pentingnya sikap dan tanggungjawab terhadap penjagaan kebersihan tandas awam.

Ketua Bahagian Advokasi Pelanggan MAHB, Ir Suradini Abdul Ghani, berkata sebagai pintu masuk utama negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dianggap sebagai penanda aras yang berperanan penting dalam memupuk persepsi awal pengunjung yang datang ke negara ini.

"Ibaratnya, tandas awam di lapangan terbang umpama daya penarik yang membentuk tanggapan pertama pelancong asing terhadap sesebuah negara, yang mana ia adalah kemudahan awam paling asas dan keadaannya mencerminkan sejauh mana infrastruktur lain dijaga.

"Justeru, kerajaan amat menitikberatkan kebersihan di tandas lapangan terbang kerana infrastruktur pengangkutan sesebuah negara memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi, khususnya Malaysia yang menuju status negara maju," katanya.

Beliau berkata menerusi kempen berkenaan, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk penambahbaikan 131 tandas di terminal utama KLIA, yang dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

"Selain itu, MAHB turut bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pembersihan tandas.

"Kepakaran yang tersedia di KPKT digunakan sepenuhnya untuk mendapat maklum balas melalui penilaian yang dilakukan yang mana berdasarkan penilaian itu, ia berjaya mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan pembersihan tandas kami," katanya.

Beliau berkata turut diadakan adalah sesi taklimat dan latihan penilaian penarafan lima bintang ke atas tandas di KLIA yang dikendalikan KPKT kepada 170 warga kerja MAHB dan kontraktor pembersihan tandas.

Ia penting untuk memastikan tahap perkhidmatan dan tanda aras yang konsisten.

"Sejak penggunaan sistem penarafan ini, ada peningkatan dalam kualiti perkhidmatan pembersihan, yang mana dalam hanya dua minggu sistem ini diguna pakai sepenuhnya, 29 peratus tandas di KLIA mencapai taraf lima bintang berbanding 17 peratus sebelumnya, selain peratusan kebersihan tandas bertaraf tiga dan empat bintang turut meningkat.

"Antara penambahbaikan yang dibuat terhadap perkhidmatan pembersihan tandas termasuk menambah bilangan pekerja dan kekerapan pembersihan ketika waktu puncak terutama di tandas yang sering menjadi kunjungan dalam masa sama menetapkan prosedur pembersihan tandas dalam masa satu minit.

"Selain itu, aplikasi pemantauan kebersihan tandas turut digunakan untuk memantau tahap kebersihan tandas dan tugas pekerja pembersihan dari semasa ke semasa selain penggunaan teknologi nano dan sistem pengudaraan yang dinaik taraf bagi mengurangkan bau yang tidak menyenangkan.

"Kami yakin pelbagai inisiatif ini akan berjaya mencapai objektif agar semua tandas di KLIA mencapai piawaian lima bintang kelak sekaligus memberi keselesaan kepada semua pengguna lapangan terbang dan meningkatkan kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan kami," katanya.

Kempen Pay It Forward dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi di pada 14 Disember lalu di KLIA.

Berita Harian X