Khamis, 21 Disember 2017 | 1:06pm

Takaful Ikhlas, Agrobank perkenal Agro Mabrur-i

KUALA LUMPUR: Takaful Ikhlas Bhd, syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd (MNRB), dengan kerjasama Agrobank memperkenalkan Agro Mabrur-i sebagai produk di bawah Skim Perlindungan Tenang yang dilancarkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 24 November lalu, sempena Karnival Kewangan di Kuching, Sarawak.

Pemilihan Agro Mabrur-i sebagai produk di bawah Skim Perlindungan Tenang berdasarkan ciri produknya yang mampu milik dan mudah difahami.

Selain itu, Agro Mabrur-i turut menyediakan kad perlindungan dan pembayaran tuntutan dalam tempoh 24 jam bagi perbelanjaan serta-merta kematian.

Agro Mabrur-i adalah produk takaful keluarga ditaja jamin oleh Takaful Ikhlas dan ditawarkan khas kepada pelanggan Agrobank dan umum.

Produk mampu milik itu menawarkan manfaat sehingga RM13,000 bagi kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat semula jadi dan manfaat sehingga RM26,000 bagi kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat kemalangan, hanya dengan sumbangan serendah RM75 setahun atau bersamaan RM0.21 sen sehari.

Bagi penyertaan berkelompok untuk persatuan atau syarikat pula, pelan yang ditawarkan adalah serendah RM40 setahun dengan nilai perlindungan RM5,000 untuk penyertaan minimum 20 orang.

"Sebagai satu daripada pengendali takaful di Malaysia, Takaful Ikhlas menyambut baik usaha BNM untuk meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan perlindungan takaful kepada golongan ini.

"Dengan adanya pakej Perlindungan Tenang yang memudahkan seperti produk Agro Mabrur-i di pasaran, ia dapat memberikan alternatif kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana termasuk syarikat kecil bagi mendapatkan perlindungan takaful.

"Selain itu, rangkaian cawangan Agrobank di seluruh negara termasuk di luar bandar adalah saluran terbaik bagi memasarkan produk ini kepada kumpulan sasar", kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Ab Latiff Abu Bakar, yang hadir pada majlis pelancaran Skim Perlindungan Tenang di Kuching, Sarawak.

Pelanggan yang berminat boleh menghubungi perkhidmatan pelanggan Agrobank di talian 1 300 88 2476, cawangan Agrobank terdekat atau laman web Agrobank di www.agrobank.com.my.

122 dibaca
Berita Harian X