Selasa, 2 Januari 2018 | 1:08pm
PENGERUSI SPNB, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad di Majlis penyerahan cek pampasan insuran hayat berkelompok kepada isteri Allahyarham Ahmad Azli Mohd kakitangan SPNB yang telah meninggal dunia akibat barah hati di Menara PERKESO, Jalan Tun Razak. - Foto Salhani Ibrahim

SPNB jual RM1.5 juta rumah sehari

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) secara purata mencatatkan jualan rumah sebanyak RM1.5 juta sehari tahun lalu, berbanding RM1 juta pada 2016.

Pengerusinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata secara keseluruhan, SPNB meraih pendapatan sebanyak RM600 juta tahun lalu, meningkat 13 peratus berbanding 2016.

"Ia (pendapatan) tidak termasuk rumah mesra rakyat, ini semua jualan rumah biasa (rumah mampu milik seperti Aspire Residence Cyberjaya dan Taman Permai Kita di Gurun, Kedah).

 

"Kami yakin dapat membina 15,000 unit rumah mampu milik lagi tahun ini.

 

"Ia akan dijual di bawah harga pasaran, pengurangan sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali.

 

Selain itu, katanya, anak syarikat SPNB, Aspirasi SPNB Sdn Bhd akan membina 600 unit kondominium di Selayang, pada suku ketiga tahun ini.

 

"Kami sudah bina 1,240 unit kondominium  terbabit berharga RM140,000 hingga RM160,000, ada tiga bilik dan dua tandas.

 

"Bagaimanapun, 600 unit yang akan dibina nanti mungkin tidak dapat dijual pada lingkungan harga berkenaan berikutan spesifikasi dan jenis rumah berlainan," katanya.

 

Terdahulu, beliau menyerahkan wang pampasan insuran hayat berkelompok berjumlah RM400,000 dan khairat kematian berjumlah RM2,000 kepada kakitangan SPNB, Rosmaidayu Ismail yang kehilangan suaminya akibat kanser hati pada Ogos tahun lalu.

 

Arwah, Ahmad Azli Mohd juga adalah bekas kakitangan SPNB yang berkhidmat sebagai Pengurus anak syarikat SPNB, iaitu SPNB Dana Sdn Bhd cawangan Negeri Sembilan selama 13 tahun sejak 2004.

 

Rosmaidayu ketika ditemui menzahirkan ucapan syukur di atas sumbangan SPNB bagi meringankan beban kewangan keluarganya.

 

"Saya ucap terima kasih kepada SPNB yang sentiasa mengambil berat terhadap keadaan suami.

 

"SPNB sentiasa prihatin terhadap keadaannya ketika suami dalam tempoh rawatan sehingga saat kematian beliau," katanya.

 

378 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »