Isnin, 8 Januari 2018 | 5:02pm
DATUK Ahmad Fuaad Kenali (duduk, kiri) bersama Tengku Datuk Abdul Aziz Tengku Ibrahim (duduk, kanan) ketika menandatangani MoU antara Malakoff Corporation Berhad dan Touch Meccanica di sebuah hotel hari ini.- Foto BERNAMA

Malakof bangunkan projek tenaga RM1.3 bilion

KUALA LUMPUR: Malakoff Corporation Bhd, pengeluar tenaga bebas (IPP) terbesar di Malaysia, dan Touch Mechanica Sdn Bhd (TMn) akan menjalin kerjasama membangunkan lapan projek tenaga diperbaharui (RE) di Pahang dianggarkan bernilai sekitar RM1.3 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata projek itu merangkumi pembangunan satu ladang solar bersepadu di Semuji, Gambang di Kuantan dan tujuh loji jana kuasa hidro mini di beberapa lokasi sepanjang Sungai Pahang.

Katanya, sekiranya berjaya dilaksanakan, projek itu bakal menjadi loji penjanaan RE pertama di Malaysia dan aset RE kedua Malakoff selepas pemilikan 50 peratus kepentingan dalam ladang angin Macarthur Wind Farm di Victoria, Australia, yang berkeupayaan menghasilkan 210MW tenaga elektrik.

"Projek jana kuasa hidro mini itu dianggarkan berkemampuan menjana 100 Megawatt (MW) tenaga elektrik dan membabitkan kos sekitar RM1 bilion, manakala ladang solar photovoltaic itu pula berkeupayaan menjana 50MW tenaga elektrik dengan anggaran kos sekitar RM300 juta.

"Pembangunan satu jana kuasa hidro mini akan mengambil masa dua tahun, manakala bagi solar photovoltaic satu tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malakoff dan TMn di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Fuaad mewakili Malakoff, manakala TMn diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Datuk Abdul Aziz Tengku Ibrahim.

Majlis pemeteraian itu disaksikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

MoU itu menggariskan cadangan kerjasama bagi membangunkan beberapa projek RE, khususnya tenaga solar photovoltaic dan janakuasa hidro mini berskala besar di Pahang.

Ahmad Fuaad berkata, MoU itu adalah platform untuk bertukar pengetahuan dan kepakaran yang akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, selain membuktikan komitmen Malakoff untuk mengembangkan RE dalam portfolio penjanaan kuasa elektriknya.

Projek itu, katanya, bakal menjadi pemangkin bagi Malakoff dalam memainkan peranan lebih besar dan bermakna dalam pembangunan RE di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malakoff sentiasa meninjau peluang baharu yang menguntungkan bagi meluaskan portfolio penjanaan kuasa elektriknya, dan ini termasuk segmen RE.

Sementara itu, Pengerusi Malakoff, Datuk Hasni Harun, berkata menerusi MoU itu kedua-dua pihak bersetuju untuk membincangkan asas eksklusif berhubung pelaksanaan projek RE berkenaan, yang mana Malakoff akan bertanggungjawab melaksanakan kajian daya maju berhubung aspek teknikal dan komersial.

Malakoff adalah pengeluar tenaga bebas (IPP) terbesar di Malaysia dengan keupayaan menjana 6,346 MW tenaga elektrik daripada tujuh loji janakuasanya.

TMn adalah anak syarikat milik penuh Touch Group Holdings Sdn Bhd.

INFO:

Aset tenaga dan air Malakoff di luar Malaysia:

. Arab Saudi, Algeria, Bahrain, Oman dan Australia

Berita Harian X