Jumaat, 19 Januari 2018 | 4:39pm

Bank Islam lancar Sadaqa House

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) melancarkan Sadaqa House, agenda strategik terkininya bagi inisiatif kewangan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Khairul Kamarudin berkata, inisiatif itu membolehkan sumbangan daripada orang awam dibuat melalui platform digital pendanaan awam kerjasama Ethis Ventures Sdn Bhd dan GlobalSadaqah.com.

Khairul berkata, sumbangan yang disalurkan ke arah merealisasikan projek pembiayaan sosial untuk sektor yang kurang mendapat perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan keusahawanan.

"Selain itu, orang awam juga boleh menyumbang melalui saluran Bank Islam sedia ada seperti Perbankan Internet, Perbankan Mudah Alih-i TAP, Kad Kredit-i Bank Islam dan sebagainya.

"Mereka juga boleh menderma sebarang jumlah wang ke dalam akaun dana Sadaqa House. Di samping itu, Bank Islam akan memadankan dana yang dikumpul pada kadar 1:1 sehingga maksimum RM500,000.

"Bagi fasa pertama, kami akan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik untuk melaksanakan projek seperti Yayasan Institut Jantung Negara (IJNF) bagi menyediakan bantuan kewangan kepada pesakit IJN terpilih menjalani pembedahan jantung.

"Selain itu, Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dan Technology Park Malaysia (TPM) bagi menyediakan kabin pengeringan ikan untuk komuniti nelayan di Kedah dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menyediakan sistem solar untuk komuniti orang asal di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul berkata, Bank Islam membawa teknologi ke dalam penyelesaian syariahnya, sambil menyampaikan perkhidmatan yang lebih sejajar dengan trend digital semasa.

Beliau berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada perjalanan digital bank untuk memastikan kemudahan, perkhidmatan yang cekap dan impak yang tinggi dengan kemudahan pelaksanaan.

"Melalui prinsip tersebut, kami percaya bahawa pembangunan masyarakat adalah asas kemajuan perniagaan kami, justeru, kami akan terus memberikan keutamaan kepada penyediaan kemudahan kebajikan sosial yang berkesan.

"Sadaqa House juga adalah sebahagian daripada agenda strategik kewangan sosial di mana kami menggalakkan masyarakat melabur secara beretika bagi menyokong pembangunan ekonomi sektor yang kurang mendapat perhatian," katanya.

Berita Harian X