Jumaat, 19 Januari 2018 | 7:37pm
PENGARAH Urusan Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid, (tiga dari kiri) melancarkan Pelan Perlindungan Takaful Amani Plus ketika Majlis Pelancaran Pelan Perlindungan Takaful Amani Plus sambil ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad, Datuk Ab Latiff Abu Bakar, (tiga dari kanan) di Karnival Kewangan Bank Negara Malaysia di TH Hotel. - Foto Azhar Ramli
PENGARAH Urusan Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid, (tiga dari kiri) melancarkan Pelan Perlindungan Takaful Amani Plus ketika Majlis Pelancaran Pelan Perlindungan Takaful Amani Plus sambil ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad, Datuk Ab Latiff Abu Bakar, (tiga dari kanan) di Karnival Kewangan Bank Negara Malaysia di TH Hotel. - Foto Azhar Ramli

Bank Rakyat, Takaful IKHLAS lancar Takaful Amani Plus

ALOR SETAR: Syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB), Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS) dengan kerjasama Bank Rakyat melancarkan pelan perlindungan Takaful Amani Plus merangkumi perlindungan yang lebih komprehensif dengan sumbangan serendah RM90 setahun atau RM0.25 sehari.

Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid, berkata pelan itu menawarkan jaminan kewangan terhadap kematian, hilang upaya semula jadi dan kerugian akibat kemalangan diri untuk pelanggan Bank Rakyat.

Katanya, ia adalah produk yang ditambah baik daripada pelan perlindungan Takaful Amani yang dilancarkan pada tahun 2010 dengan penyertaan hampir 800,000 daripada pelanggan Bank Rakyat.

"Pelan yang ditaja jamin Takaful Ikhlas ini menawarkan manfaat sehingga RM30,000 bagi kerugian akibat kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat semula jadi di samping manfaat hingga RM150,000 bagi kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat kemalangan."

"Pelanggan Bank Rakyat boleh mendapatkan pelan ini dengan sumbangan serendah RM90 setahun atau bersamaan RM0.25 sehari selain menawarkan tiga pilihan pelan perlindungan komprehensif dengan manfaat berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Perlindungan Takaful Amani Plus di Karnival Kewangan Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Zulkiflee Abbas berharap lahirnya pelan mampu milik itu sedikit sebanyak dapat membantu menangani masalah yang sering mengakibatkan pengguna tidak berminat membeli pelan perlindungan takaful.

Dalam pada itu, Bank Rakyat turut memberikan Takaful Amani Plus secara percuma bagi tempoh setahun kepada 50 orang ibu tunggal di sekitar Kedah bersempena pelancaran pelan perlindungan terbabit.

Katanya, sumbangan pelan kepada ibu tunggal adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai bank koperasi Islam penyayang demi mengurangkan beban kewangan golongan memerlukan dengan pelan perlindungan untuk seisi keluarga.

Yang turut hadir Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad, Datuk Ab Latiff Abu Bakar.

Berita Harian X