Selasa, 23 Januari 2018 | 10:50pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Green Packet, Tan Kay Yen.

Green Packet peroleh kontrak RM272j bekalkan STB

KUALA LUMPUR: Green Packet Bhd memperolehi kontrak bernilai RM272 juta untuk membekalkan 'set top box' (dekoder) daripada MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV), pemegang konsesi bagi televisyen terestrial digital nasional (DTT).

Dalam kenyataan hari ini, Green Packet, penggiat teknologi, media dan telekomunikasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, berkata mengikut perjanjian itu, DVB-T2 (T2000) STB oleh MYTV akan diedarkan kepada isi rumah Malaysia yang terpilih di bawah program subsidi kerajaan untuk perkhidmatan DTT.

"Projek DTT adalah inisiatif kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan penyiaran televisyen dan radio berkualiti tinggi, seiring dengan usaha bersama negara ASEAN dalam mencapai ASO (Analogue Switch Off) pada antara 2015 dan 2020.

"Perjanjian ini dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan Green Packet pada tahun kewangan 2018 dan sehingga kontrak itu tamat," menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Green Packet, Tan Kay Yen, berkata antara kelebihan STB baharu itu adalah keupayaan merekodkan data penonton khalayak sekali gus membolehkan pengiklan memahami tingkah laku tontonan pelanggan, berdasarkan apa yang ditonton dan masa menonton.

"Ini akan menjadi kaedah penting bagi masa depan pengusaha saluran dan pengiklan memandangkan ia memberi mereka maklumat mengenai pengguna, sekali gus membolehkan pengiklan mengiklan secara lebih cekap dengan memaksimumkan kos dan menyasarkan penonton yang sesuai," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X