Khamis, 25 Januari 2018 | 8:26pm
Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy Group, Tan Sri Shahril Shamsuddin (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin (dua dari kiri) semasa Pameran The 16th Oil & Gas, Petrochemical Engineering 2017 (OGA 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

PETRONAS tumpu strategi serampang tiga mata

KUALA LUMPUR: PETRONAS akan lebih menumpukan strategi serampang tiga mata bagi merangsang pertumbuhan syarikat minyak nasional itu pada tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata pertamanya syarikat itu masih menguruskan aliran tunainya dengan hati-hati, meskipun kedudukan harga minyak global ketika ini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Keduanya katanya, pihaknya mahu mengembangkan perniagaan teras mereka.

"Kami adalah sebuah syarikat bersepadu sepenuhnya dan saya percaya dengan model perniagaan sebegini. Kami sedang melihat kepada langkah untuk memanjangkan rantaian nilai perniagaan kami.

"Yang ketiga, kami juga sedang melihat kepada perkara yang baharu di PETRONAS, sebagai contoh, kami sedang melihat potensi untuk terbabit dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan tenaga baharu lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh Bloomberg TV sewaktu menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland hari ini.

Wan Zulkiflee turut menggariskan tiga cabaran utama yang mampu memberi kesan kepada syarikat iaitu yang pertama untuk memastikan bakat mereka mampu memacu syarikat itu ke hadapan.

Katanya, PETRONAS melabur dalam bakat terutama berhubung bidang perniagaan baharu yang mereka sedang pertimbangkan.

"Cabaran kedua ialah harga minyak. PETRONAS sudah biasa dengan kitaran harga minyak dan yakin syarikat sekarang dalam posisi kukuh untuk bertahan dengan kitaran sedemikian.

"Cabaran ketiga ialah pembangunan tenaga boleh diperbaharui terhadap bahan api," katanya.

Menyentuh mengenai unjuran harga minyak, Wan Zulkiflee menggariskan tiga dimensi apabila menimbangkan perkara itu yang termasuk bekalan, permintaan dan spekulasi.

"Apa yang kita lihat ketika ini adalah tercetus daripada banyak perkara, terutamanya langkah pengurangan pengeluaran secara sukarela oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC yang mana membantu meningkatkan harga komoditi itu.

Katanya, dari sisi permintaan kelihatan baik di peringkat global dan pihaknya menjangkakan ia akan berterusan dalam beberapa tahun akan datang.

"Bagaimanapun, peningkatan pengeluaran minyak syal AS akan memberi impak kepada harga minyak dunia," katanya.

Dari sisi spekulatif, beliau berkata PETRONAS akan memantau dengan rapat peristiwa yang berlaku di Asia Barat, Korea Utara dan bahagian lain di dunia yang mana mampu memberi kesan kepada harga minyak mentah.

Berita Harian X