Jumaat, 2 Februari 2018 | 10:12pm
TAN Sri Azman Hashim.- Foto Asyraf Hamzah

Gabenor Bank Negara Kemboja dapat anugerah AICB

KUALA LUMPUR: Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) mengurniakan anugerah Fellowship Kehormat kepada Gabenor Bank Negara Kemboja (NBC), Chea Chanto, sebagai pengiktirafan atas kepimpinan dan sumbangan beliau dalam mentransformasikan industri perbankan negara itu.

AICB dalam satu kenyataan berkata, anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim dan disaksikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim di Siem Reap, Kemboja.

AICB Honorary Fellowship adalah anugerah berprestij yang dikurniakan kepada tokoh terkemuka yang kepimpinan dan sumbangannya dalam industri kewangan dianggap memberi kepentingan kepada negara dan antarabangsa.

"Di bawah kepimpinan beliau pelbagai pembaharuan perbankan yang mengukuhkan sistem perbankan Kemboja telah diperkenalkan.

"Sistem perbankan Kemboja kini telah dimodenkan dan disepadukan dalam sistem kewangan serantau dan antarabangsa," kata Azman dalam ucapannya semasa majlis penganugerahan itu.

Penganugerahan anugerah tersebut mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Kemboja.

Ia juga memudahkan peluang kerjasama baharu antara AICB dan National Bank of Cambodia untuk mengukuhkan pembangunan profesional dalam sektor perbankan yang diperlukan bagi mengembangkan industri kewangan. --BERNAMA

Berita Harian X