Rabu, 7 Februari 2018 | 5:52pm
PENGARAH Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Aizuddin Saad

MAHB jalin usaha sama pembangunan semula Subang

SINGAPURA: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengukuhkan rancangan Inisiatif Pembangunan Subang dengan memeterai dua perjanjian perkongsian dan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama peserta aeroangkasa pada Pameran Udara Singapura di Pusat Pameran Changi.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata Subang sudah memiliki komuniti aeroangkasa matang yang terkenal dengan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pengendalian tetap (FBO), pembuatan, dan latihan menerusi Spirit Aerosystems, salah satu pembekal utama Boeing dan Airbus Helicopters selain Leonardo yang sebelumnya dikenali sebagai AgustaWestland.

"Kami menjangkakan penambahan baik terhadap Subang Aerospace dan ekosistem penerbangan akan memberi impak terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Aeropolis pada masa akan datang.

"Pada masa ini, kita sedang menambah nilai menerusi kerjasama bersama rakan kongsi dalam usaha mencapai manfaat dan menghasilkan penyelesaian dari segi rangkaian bekalan, tenaga kerja, infrastruktur dan peralatan, serta teknologi.

"'Langkah itu adalah untuk menarik peserta aeroangkasa menjadi sebahagian daripada ekosistem di Subang dan seterusnya berkembang ke KLIA Aeropolis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perjanjian rakan kongsi pertama adalah bersama Axis REIT Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) adalah bagi membangunkan kemudahan perkilangan industri untuk Senior Aerospace UPECA.

Katanya, Axis-REIT adalah sebuah amanah pelaburan hartanah yang menumpukan terhadap pembangunan pejabat dan hartanah perindustrian dengan aset berjumlah RM2.5 bilion di bawah pengurusannya.

"Perjanjian rakan kongsi kedua adalah antara Malaysia Airports dan Skyways Technics, syarikat berpusat di Sonderborg dan Lapangan Terbang Billund, Denmark Selatan yang mempunyai pengalaman penyelenggaraan lebih 30 tahun dalam pesawat ATR.

"Kemudahan baharunya akan terletak di Pusat MRO di Subang Aerotech Park dan menjadi ibu pejabat serantau APAC syarikat itu.

Pada majlis sama, Malaysia Airport turut menandatangani MoU bersama Asian Business Aviation Association (AsBAA) dan MARA Corp.

"Peranan AsBAA adalah menyediakan pengetahuan industri yang penting dalam berkaitan isu pembangunan, mengenal pasti peluang perniagaan, mewujudkan kesedaran dalam kalangan pemegang saham dan melaksanakan penilaian dan cadangan untuk menambah baik (LTSAAS) Subang menepati kehendak industri tempatan dan serantau.

"Sementara itu, kerjasama dengan MARA Corp, memperkasakan pembangunan modal insan untuk KLIA Aeropolis," katanya.

Berita Harian X