Khamis, 8 Februari 2018 | 2:25pm
DATUK Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berucap pada pelancaran kempen coffee break sempena sambutan tahun baru cina di Hotel Westin Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun
DATUK Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berucap pada pelancaran kempen coffee break sempena sambutan tahun baru cina di Hotel Westin Kuala Lumpur. - Foto Owee Ah Chun

PDB peruntuk Capex RM400 juta tahun ini

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Berhad (PDB) memperuntukkan perbelanjaan modal (Capex) sebanyak RM400 juta tahun ini bagi pengurusan operasinya.  

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus, berkata kira-kira 80 peratus daripada jumlah Capex itu akan digunakan bagi membuka stesen baharu dan menambah baik stesen sedia ada.  

Katanya, PDB turut merancang membuka stesen Petronas baharu di lokasi yang strategik di seluruh negara tahun ini.  

"Kami menjangkakan 10 lagi stesen baru akan dibuka sepanjang 2018 dan setakat ini terdapat 141 stesen Petronas seluruh Malaysia.  

"Selain itu, PDB akan melaksanakan kempen dan program bagi menghargai pelanggan Petronas terutama untuk setiap musim perayaan," katanya kepada media di majlis pelancaran kempen Coffee Break Petronas di sini, hari ini.

PDB melancarkan kempen Coffee Break bagi mengajak pengguna kenderaan membudayakan amalan keselamatan di jalan raya sepanjang perjalanan pada musim perayaan ini.  

Sebanyak sejuta cawan akan diagihkan kepada pelanggan sepanjang kempen berlangsung.  

Sementara itu, Ibrahimnuddin berkata syarikat sentiasa peka dengan ketidaktentuan harga minyak kerana ia memberi kesan kepada kos inventori.

"Berikutan tempoh inventori yang lebih singkat iaitu kepada empat ke lima hari berbanding sembilan hari sebelum ini, ia membantu syarikat dalam berdepan dengan ketidaktentuan harga minyak dengan lebih efisyen," katanya.  

Kempen itu bermula 14 hingga 15 Februari 2018 dan 18 hingga 19 Februari 2018 membabitkan lebih dari 1,000 stesen Petronas seluruh negara dengan menawarkan kopi dan snek secara percuma untuk berehat sebentar sebelum menyambung perjalanan ke destinasi yang dituju.  

Sepanjang kempen keselamatan ini, stesen Petronas terpilih juga akan menyediakan pemeriksaan kesihatan oleh St John Ambulance Malaysia (SJAM) secara percuma.  

Kempen Coffee Break juga dilaksanakan ketika Hari Raya serta Festival Kaamatan dan Gawai.

Berita Harian X