Khamis, 8 Februari 2018 | 4:49pm
DATUK Seri Mah Siew Keong memalu gong merasmikan pembukaan MIFF 2018. Turut bersama Datuk Dr Tan Chin Huat (dua kanan) dan Pengarah Urusan Asean Busiess UBM Asia, M Gandhi (kanan). - Foto Mohd Yusni Ariffin
DATUK Seri Mah Siew Keong diiringi Datuk Dr Tan Chin Huat (dua kanan) melawat kawasan pameran selepas majlis pembukaan MIFF 2018 di Pusat Dangangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohd Yusni Ariffin

MIFF 2018 sasar peningkatan jualan sebanyak lima peratus

KUALA LUMPUR: Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2018 menyasarkan peningkatan jualan sebanyak lima peratus tahun ini walaupun ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat.

Acara tahunan itu mencatatkan jualan AS$940 juta (RM3.69 bilion) tahun lalu.

Pengasas dan Pengerusi MIFF, Datuk Dr Tan Chin Huat, berkata peningkatan ringgit dijangka tidak menjejaskan jualan memandangkan pembeli asing sudah menjangkakannya.

"Harga bukanlah sesuatu yang membimbangkan mereka. Mereka lebih pentingkan reka bentuk dan kualiti produk," katanya pada sidang media pra-Pameran MIFF 2018 di sini hari ini.

Bertema 'Design Connects People', MIFF edisi ke-24 akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 8 hingga 11 Mac 2018.

Ia akan dilancarkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Tan berkata, jualan yang dihasilkan pada MIFF tahun lalu menyumbang 40 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, dengan Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Jerman adalah tiga destinasi utama.

Sementara itu, Pengurus Besar MIFF, Karen Goi, berkata pameran itu dijangkakan menarik lebih daripada 600 pempamer dari 13 negara tahun ini, peningkatan 13 peratus berbanding 2017.

"Lebih 70 peratus terdiri daripada pempamer tempatan dan selebihnya terdiri daripada peserta industri dari negara seperti Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, India dan Indonesia.

"Kami menjangkakan lebih banyak pempamer baharu akan menyertai acara tahun ini, termasuk syarikat dari Turki, Korea Selatan, China, Indonesia dan Thailand," katanya.

Goi berkata, selari dengan sambutan menggalakkan daripada pempamer, bilangan pengunjung pra-pendaftaran juga meningkat 10 peratus berbanding jumlah pada tahun sebelumnya, sehingga semalam.

Tahun lalu, MIFF menarik hampir 20,000 pengunjung, dengan 5,603 terdiri daripada pembeli antarabangsa dari 132 negara.

Edisi tahun ini akan mengetengahkan segmen baharu seperti DesignRena, kawasan eksklusif seluas 15,000 meter persegi khusus untuk 80 pengilang utama Malaysia bagi mengetengahkan produk masing-masing dalam gaya hidup, selain MIFF Timber Mart, pusat sehenti penyumberan bahan kayu dan berkaitan kayu, serta platform dagangan untuk pembekal dan pembeli dari seluruh dunia. - BERNAMA

Berita Harian X