Selasa, 13 Februari 2018 | 7:27pm
Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd Rahman. - Foto Shazreen Zamzuri

Jangan tekan wakil jualan - PEKEMA

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd (PROTON) diminta tidak menekan wakil jualan supaya menaik taraf kepada pusat 3S (menawarkan khidmat jualan, servis, alat ganti) dalam tempoh yang singkat.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd Rahman, berkata pihaknya tidak menafikan 3S adalah baik untuk jangka panjang.

Tetapi katanya, di dalam konteks PROTON dan keadaan pasaran kini, syarikat automotif itu perlu memberi masa dan ruang hingga terbukti jualannya kembali rancak sebelum memaksa dan meminta wakil jualan sedia ada menaik taraf kepada pusat 3S sebelum Oktober ini.

Katanya, melihat kepada kejayaan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) yang menguasai 39.8 peratus pasaran kereta pada tahun lalu, kejayaan itu dicapai melalui majoriti jualan daripada wakil jualan 1S (menawarkan khidmat jualan sahaja) dan juga 3S.

"Ini menunjukkan konsep 1S masih boleh menyumbang kejayaan jualan sesuatu organisasi tanpa perlu kesemua wakil jualan menjadi 3S," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainuddin berkata, difahamkan PROTON telah mengeluarkan arahan yang keras dengan tidak memberi banyak pilihan di mana wakil jualan 1S perlu menaik taraf kepada 3S sebelum Oktober ini.

Katanya, sekiranya gagal, hak penjualan model baharu Geely Boyue akan dinafikan dan mereka tidak akan menikmati segala insentif penjualan model Geely Boyue seperti 3S malah terpaksa menagih simpati untuk mendapatkan stok daripada pengedar 3S.

"Ini adalah satu penganiayaan seolah-olah wakil jualan 1S adalah anak tiri yang kami nampak bakal menyebabkan mereka mati secara perlahan-lahan.

"Ini bukanlah satu amalan yang ada dalam dunia industri automotif di mana wakil jualan 1S terpaksa membeli stok dari wakil jualan 3S. Ini adalah suatu tindakan yang amat pelik dan di luar kebiasaan," katanya.

Mengulas jawapan PROTON mengenai beberapa isu yang dibangkitkan PEKEMA seperti penurunan margin empat peratus kepada tiga peratus, Zainuddin berkata pihaknya merasakan ia satu tindakan ke belakang dan tidak nampak ia menggalakkan pemasaran kereta PROTON di dalam keadaan pasaran lembap buat masa ini.

Katanya, penurunan margin akan menyebabkan wakil jualan tidak dapat lagi menampung kos operasi bulanan mereka yang sedia tinggi khususnya di Lembah Klang, di mana sewaan premis adalah sangat tinggi.

"Selain itu, PEKEMA berharap Pembayaran Selepas Pendaftaran (PAR) dapat diteruskan kerana ia adalah umpama tali hayat kepada wakil jualan PROTON buat masa ini.

"Sebagaimana PROTON mendapat pinjaman mudah daripada kerajaan lebih RM1 billion untuk terus beroperasi. PROTON perlu menghargai wakil jualan mereka yang telah lama dan setia bersama mereka tidak kira di waktu senang atau di waktu susah," katanya.

Tambahnya lagi, pengurusan baharu PROTON jelas tidak mengendahkan agenda Bumiputera di dalam pengurusan mereka selain tidak menyatakan isu Bumiputera di dalam kenyataan balas mereka.

"PEKEMA menggesa pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Kewangan supaya memanggil semua vendor dan wakil jualan bagi mendengar sendiri permasalahan yang mereka hadapi khususnya vendor dan wakil jualan Bumiputera dengan kadar segera.

"PEKEMA sendiri akan bertemu dengan semua wakil jualan Bumiputera PROTON esok di pejabat kami.

"PEKEMA sememangnya mengalukan Geely sebagai rakan strategik PROTON dan berdoa usahasama ini akan berjaya menaikkan semula PROTON sebagai kereta nasional kebanggaan rakyat Malaysia.

"Malah, PEKEMA menyokong penuh usahasama dengan Geely yang telah terbukti sebagaimana mereka berjaya memulihkan semula syarikat VOLVO sebelum ini.

"Cuma dalam isu ini, PEKEMA tidak mahu jadi seperti lagu 'anak kecil main api' di mana hak keistimewaan orang Melayu dan agenda Bumiputera yang termaktub di dalam perlembagaan tidak diambil kira dan diabaikan oleh pengurusan baharu PROTON seperti yang berlaku pada hari ini," katanya.

628 dibaca
Berita Harian X