Isnin, 19 Februari 2018 | 12:42pm

Lego rancang kuasai pasaran China

BEIJING/SHANGHAI: Pengeluar alat permainan dari Denmark, Lego berharap dapat menambat hati ibu bapa di China dengan mempromosikan pendidikan menggunakan produknya di dalam bilik darjah.

Syarikat yang terkenal dengan blok pembinaan berwarna-warni itu, sedang bekerjasama dengan jabatan pendidikan, sekolah kerajaan dan swasta tempatan bagi membolehkan kanak-kanak bermain dengan Lego sebagai satu langkah meningkatkan kemahiran motor, kreativiti dan perhatian mereka.

Dorongan pendidikan di China melebihi apa yang dilaksanakan Lego di pasaran lain, sebahagiannya kepada fokus disiplin terhadap pembelajaran, malah turut mencerminkan bagaimana pasaran sedang berkembang pesat itu semakin penting, ketika pasaran di Amerika Syarikat dan Eropah sedang mengecil.

Ia juga menimbulkan keinginan ibu bapa di China untuk memberikan anak-anak kelebihan daya saing meskipun pada usia muda.

Deng Xianyu, 48, membelikan blok Lego kepada anaknya yang berusia lapan tahun, sejak berusia dua tahun dan kini menghantarnya ke kelas Lego pada setiap hujung minggu.

Katanya, beliau suka pelajar mempelajari kemahiran khusus seperti pengkomputeran dan sains ketika bermain.

"Sekiranya mereka hanya mempelajari cara membina blok bersama-sama, saya tidak fikir ia benar-benar perlu.

"Namun saya fikir ia baik kerana mereka melakukan pengekodan (sebagai sebahagian daripada pembelajaran di dalam kelas)," katanya.

Syarikat yang sedang memberi tumpuan kepada bidang pendidikan di dalam negara yang terkenal dengan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan dan kerja rumah yang banyak itu, mampu membantu Lego di China ketika perniagaannya di pasaran lain semakin lemah.

September tahun lalu, Lega berkata ia akan memberhentikan lapan peratus pekerjanya dan memperbaharui perniagaannya selepas laporan menunjukkan penurunan jualan buat kali pertama selepas lebih sedekad, dengan kelemahan itu berpunca terutama dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Bagi separuh pertama 2017, Lego penurunan lima peratus kepada 14.9 bilion Danish krone (RM9.72 bilion) berbanding tempoh sama pada tahun 2016.

Pasaran permainan di China dianggarkan kira-kira AS$9.6 bilion (RM37.32 bilion) tahun lalu, meningkat hampir 10 peratus berbanding 2016, menurut Persatuan Produk Juvenil dan Permanan China. - Reuters

Berita Harian X