Rabu, 21 Februari 2018 | 3:32pm

MAHB raih untung selepas cukai RM334.5 juta

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM334.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, meningkat 82.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan bersih meningkat sebanyak 224 peratus kepada RM237.1 juta.

Ia disokong oleh peningkatan pendapatan serta perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada tahun dikaji, masing-masing kepada RM4.65 bilion dan RM1.91 bilion.

Pendapatan dan EBITDA masing-masing meningkat sebanyak 11.5 peratus dan 11.8 peratus jika dibandingkan dengan tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi itu menjadikan MAHB melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu RM1.796 bilion, dengan peningkatan 6.4 peratus.

"Melalui prestasi operasi gabungan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (SGIA), rangkaian lapangan terbang kendalian MAHB mencatatkan 127.9 juta penumpang, mewakili pertumbuhan 7.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Trafik penumpang untuk operasi Malaysia meningkat 8.5 peratus kepada 96.5 juta penumpang, melepasi 90 juta penumpang untuk pertama kalinya. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatat pertumbuhan 11.2 peratus dalam trafik penumpang kepada 58.5 juta penumpang untuk tempoh yang sama, manakala lapangan terbang lain di Malaysia mencatatkan pertumbuhan agregat sebanyak 4.6 peratus kepada 38.0 juta penumpang.

"MAHB mencapai satu lagi kejayaan apabila bahagian pasaran penumpang antarabangsa di Malaysia melebihi 50 peratus daripada keseluruhan trafik pada tahun kewangan 2017," katanya dalam satu kenyataan.

MAHB berkata, operasinya di Malaysia mencatatkan pendapatan sebanyak RM3.429 bilion pada tahun kewangan 2017, meningkat sebanyak 10.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, hasil daripada segmen aeronautik dan bukan aeronautik masing-masing meningkat sebanyak 8.0 peratus dan 13.4 peratus, peningkatan dalam pendapatan aeronautik terutamanya disebabkan kenaikan 14.1 peratus dalam keseluruhan trafik penumpang antarabangsa.

"Perolehan runcit dan komersil terus mencatatkan pertumbuhan dua angka masing-masing sebanyak 15.4 peratus dan 11.3 peratus kepada RM853.7 juta dan RM734.6 juta. Disebabkan sumbangan pendapatan yang lebih kukuh, EBITDA untuk operasi Malaysia meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada RM1.116 bilion.

"SGIA merekodkan 31.3 juta penumpang dalam TK17, peningkatan sebanyak 5.6 peratus berbanding FY16. Operasi dari Turki untuk tempoh yang sama meningkat sebanyak 13.2 peratus kepada RM1,085.7 juta manakala EBITDA bagi tahun dikaji berjumlah RM780.9 juta atau 8.6 peratus lebih tinggi.

"Hasil daripada projek MAHB dan operasi penyelenggaraan pembaikan di Doha, Qatar mencatatkan peningkatan sebanyak 19.9 peratus ​​kepada RM137.5 juta pada TK17," katanya.

Bagi 2018, MAHB menjangkakan pergerakan penumpang antarabangsa bagi sektor China, India dan Asia Tenggara adalah sebanyak 75 peratus daripada trafik antarabangsa.

Berdasarkan keadaan ekonomi yang sedia ada dan kapasiti tempat duduk tambahan yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan, MAHB berkata, trafik penumpang Malaysia dijangka berkembang sebanyak 6.3 peratus dengan trafik penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing meningkat 8.3 peratus dan 4.2 peratus.

Sementara itu, SGIA dijangka mencatatkan 34 juta pergerakan penumpang pada 2018 sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil di Turki.

Berita Harian X