Rabu, 21 Februari 2018 | 4:23pm
KHAIRY Jamaluddin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty (kanan) ketika melancarkan "Jom bertransaksi tanpa tunai @ KBS" di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Digi yakin pertumbuhan e-dompet

PUTRAJAYA: Digi Telecommunications Sdn Bhd menjangkakan pertumbuhan pasaran dompet elektronik (e-dompet) berkembang pesat di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Digitalnya, Praveen Rajan, berkata perkembangan itu disokong langkah Bank Negara Malaysia (BNM) yang menggalakkan penggunaan penyelesaian tanpa tunai untuk pelbagai perkhidmatan dan pembelian produk di negara ini.

Katanya, pengenalan aplikasi e-dompet oleh Digi dikenali vcash juga dijangka memberikan hasil positif dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Ia agak baharu di Malaysia. Namun, langkah yang perlu diambil oleh pengendali e-dompet adalah dengan meningkatkan kesedaran tentang keberkesanan, kemudahan dan keselamatan aplikasi yang ditawarkan.

"Seperti vcash, kami menawarkan penyelesaian terbaik untuk pengguna yang mahu beralih kepada pembayaran tanpa tunai.

"Dengan aplikasi kami ini, pengguna tidak hanya boleh membuat pembayaran, malah mereka juga boleh menghantar, meminta dan menyimpan tunai dalam telefon mudah alih," katanya kepada media selepas majlis pelancaran inisiatif vcash di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty.

KBS menjadi kementerian pertama menggunakan aplikasi vcash yang diperkenalkan Digi pada November tahun lalu.

vcash boleh digunakan di tiga lokasi di Menara KBS, Putrajaya iaitu Rimau Cafe, KBS Gym dan Kafe Teratai.

Praveen berkata, sebagai pengendali telekomunikasi tempatan yang memiliki 11.7 juta pelanggan, tahap penerimaan vcash oleh pelanggannya dijangka terus meningkat pada masa depan.

"Kami mahu mengembangkan penggunaan vcash bukan saja pelanggan Digi. Memandangkan 70 peratus rakyat Malaysia adalah pengguna telefon pintar, ia amat berpotensi untuk dijadikan sebagai penyelesaian kerana lebih mudah dan selamat," katanya.

vcash adalah aplikasi pembayaran mudah alih yang menawarkan rakyat Malaysia penyelesaian mudah untuk membayar perkhidmatan yang ditawarkan peniaga menerusi telefon pintar.

Ia boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play.

vcash turut menawarkan empat manfaat iaitu selamat kerana setiap transaksi dilindungi PIN dan cap jari; selesa memandangkan ia boleh digunakan setiap masa; mudah dijejaki kerana pengguna boleh memantau perbelanjaan; dan ringkas kerana pengguna boleh membayar, menghantar atau menerima tunai dengan langkah mudah.

Ketika ini, vcash boleh digunakan di pusat sehenti fizikal seperti kedai makan dan minuman serta peniaga dalam talian di bawah rangkaian pembayaran MOLPay dan iPay88.

Selain itu, pelanggan juga boleh menggunakan aplikasi itu untuk memberi kredit permainan termasuk Garena Shells dan Steam Wallet, membeli tambah nilai telekomunikasi, baucar beli-belah dan membayar bil utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Astro serta Telekom Malaysia (TM).

Berita Harian X