Jumaat, 23 Februari 2018 | 11:06am
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah), bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi SK Group, Chey Tae-Won bergambar selepas pertukaran dokumen perjanjian persefahaman pada majlis menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) antara Kerajaan Malaysia, SK Group, South Korea, Cyberview Sdn. Bhd. & SK Telecom Co. Ltd. di Sapphire Room, Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kerajaan, SK Group jalin kerjasama

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan konglomerat terkemuka Korea Selatan, SK Group, bagi kerjasama dalam sektor utama seperti ICT dan teknologi 5G, minyak dan gas, teknologi hijau serta pembangunan bandar.

Selain itu, kerajaan Malaysia menerusi anak syarikat Kementerian Kewangan, Cyberview Sdn Bhd, turut menandatangani MoU dengan anak syarikat SK Group, SK SK Holdings Co Ltd dan SK Telecom Co Ltd bagi membangunkan Bandar Pintar Lautan Biru di Malaysia, bermula dengan Cyberjaya.

Pada majlis pertukaran MoU pertama, kerajaan Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan, merangkap Pengerusi Cyberview, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah. manakala SK Group oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif E&S, Yu Jeong Joon.

Bagi MoU kedua, Cyberview diwakili oleh Pengarah Urusannya, Mohd Najib Ibrahim dan SK Holdings dan SK Telecom oleh Ketua Pegawai Eksekutif SK Telecom, Park Jung Ho.

Pertukaran kedua-dua MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SK Group, Chey Tae-won.

Berita Harian X