Jumaat, 23 Februari 2018 | 4:07pm
PENGARAH Urusan Cyberview Sdn Bhd, Mohd Najib Ibrahim bertukar dokumen bersama Park Jung Ho sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi SK Group, Chey Tae-Won pada majlis menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) antara Kerajaan Malaysia, SK Group, South Korea, Cyberview Sdn. Bhd. & SK Telecom Co. Ltd. di Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Cyberjaya bakal jadi bandar pintar 5G pertama

KUALA LUMPUR: Cyberjaya bakal menjadi bandar pintar pertama di Malaysia menerima kemudahan teknologi 5G selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) di antara Cyberview Sdn Bhd dengan SK Holdings Co Ltd dan SK Telecom Co Ltd.

Menerusi MoU itu, Cyberjaya akan dibangunkan sebagai Bandar Pintar Lautan Biru pertama di Malaysia yang antaranya akan dilengkapi dengan kemudahan 5G.

SK Holdings dan SK Telecom masing-masing ialah anak syarikat SK Group, konglomerat kedua terbesar di Korea Selatan dari segi saiz pasaran permodalan dan turut tersenarai dalam Fortune 100.

Ketua Pegawai Eksekutif SK Telecom, Park Jung Ho, berkata pihaknya berhasrat untuk menguji teknologi 5G di negara ini di Cyberjaya serentak dengan yang akan dilakukan syarikat itu di negaranya pada akhir tahun ini.

Justeru beliau berharap dapat bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi sedia ada di Malaysia dalam mencapai sasaran itu.

"(Kami berharap) kerajaan (Malaysia) dapat menyediakan spektrum untuk 5G, kerana untuk kami melancarkan teknologi ini, kami memerlukan peralatan dan infrastruktur yang sesuai.

"Kami menjangkakan untuk menguji 5G di Korea Selatan pada akhir tahun ini dan berharap dapat melakukannya serentak dengan di Malaysia.

"Ini kerana, anda (kerajaan) menyediakan persekitaran lebih terbuka terutama dari segi undang-undang (untuk teknologi ini)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media majlis pertukaran MoU di antara kerajaan Malaysia dan SK Group serta di antara Cyberview dengan SK Holdings dan SK Telecom di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Cyberview, Mohd Najib Ibrahim, berkata pihaknya sedang bekerja rapat dengan rakan niaga berpotensinya bagi mempercepatkan proses pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia.

Ini kerana katanya, keperluan dari segi peraturan dan akta daripada pihak berkuasa menjadi antara cabaran utama untuk merealisasikan hasrat itu.

"Mungkin teknologi 5G boleh diperkenalkan di Cyberjaya terlebih dulu sebagai projek perintis sebelum diluaskan ke kawasan lain," katanya.

5G atau rangkaian mudah alih generasi kelima adalah teknologi baharu yang bakal menggantikan teknologi 4G, yang mula diperkenalkan pada 2009, dengan 100 kali lebih laju daripada 4G.

Teknologi 5G mula dilancarkan buat kali pertama di Sukan Musim Sejuk Olimpik di PyeongChang, Korea Selatan yang mula berlangsung pada 9 Februari lalu.

676 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »