Isnin, 26 Februari 2018 | 9:00am
ANTARA pelatih di TTA.
KRU TTA memeriksa Mesin Pengorek Terowong (TBM) di kilang baik pulih di Pusing, Ipoh.
SALEHUDIN menjelaskan jajaran bawah tanah yang mempunyai geologi kompleks.
PEKERJA terlatih dan berkemahiran tinggi diperlukan untuk melaksanakan tugas dengan jayanya.

TTA lahir 1,000 tenaga kerja kemahiran tinggi

TUGAS rumit dan mencabar bagi projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), memerlukan pekerja terlatih dan berkemahiran tinggi untuk dilaksanakan dengan jayanya.

MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) tidak ketandusan dengan bakat hasil inisiatifnya mewujudkan Akademi Latihan Terowong (TTA) di Kota Kemuning, Shah Alam pada Disember 2011.

Ketika ini, TTA melahirkan 500 tenaga kerja berkemahiran tinggi terdiri daripada jurutera, operator, mekanik, juru elektrik, juru ukur serta pengendali erektor yang terbabit dengan projek pembinaan terowong laluan pertama MRT, jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Pengurus Terowong MGKT, Salehudin Md Shaarani, berkata 500 pekerja mahir itu melaksanakan kerja baik pulih lapan Mesin Pengorek Terowong (TBM) di Kilang Baik Pulih TBM di Pusing, Perak sebaik sahaja projek SBK selesai.

"Semua 500 graduan TTA itu dihantar ke lapangan untuk terbabit dengan projek SBK. Bagi memastikan proses pembelajaran mereka terus berjalan selepas projek itu selesai, mereka dihantar ke kilang baik pulih di Pusing.

"Kemahiran mereka meningkat di kilang baik pulih itu kerana perlu mengendalikan TBM secara lebih terperinci, sekali gus mempersiapkan mereka untuk projek pembinaan terowong bagi jajaran SSP," katanya.

Perlu pekerja kemahiran tinggi

Salehudin berkata, MGKT memerlukan pekerja berkemahiran tinggi bagi mengendalikan Mesin Pengorek Terowong Ketumpatan Berubah (VDTBM) yang diubahsuai daripada TBM.

"Contohnya, proses pembinaan dinding terowong (ring building) memerlukan petugas berkemahiran serta berpengalaman kerana ia perlu disiapkan dalam tempoh 45 minit kerana VDTBM tidak boleh berhenti terlalu lama.

"Jika VDTBM berhenti terlalu lama, ia akan mengundang isu keselamatan, manakala pemotong atau cutter head mesin pula sukar digerakkan, selain kemajuan projek akan terganggu dan bakal meningkatkan kos projek," katanya.

Salehudin yang juga graduan TTA berkata, langkah MGKT membaik pulih lapan VDTBM berbanding menggunakan mesin baharu berjaya menjimatkan kos sekitar RM200 juta bagi projek pembinaan terowong jajaran SSP.

"Baik pulih dan penggantian peralatan juga menjimatkan elemen lain dalam penghasilan mesin itu, antaranya penjimatan daripada menggunakan 600 tan besi serta 12,000 tan pelepasan gas karbon dioksida," katanya.

Ketika ini, seramai 500 lagi pekerja berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan sedang dilatih di TTA dan akan terbabit secara langsung dengan projek pembinaan terowong MRT jajaran SSP.

Projek itu bukan sahaja akan memperluas capaian MRT di Lembah Klang, malah 'melahirkan' 1,000 tenaga kerja tempatan terlatih, berkemahiran tinggi dan berpengalaman yang bersedia untuk menjalankan kerja mengorek terowong rel seterusnya.

Berita Harian X