Selasa, 27 Februari 2018 | 3:38pm

Untung bersih RHB RM1.95 bilion

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih RHB Bank Bhd (RHB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 melonjak kepada RM1.95 bilion, 16 peratus lebih tinggi berbanding RM1.68 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata peningkatan pendapatan itu dipacu oleh pendapatan pembiayaan bersih yang tinggi, penurunan nilai dalam aset lain dan pendapatan pembiayaan bersih yang tinggi, sebahagiannya diimbangi pendapatan bukan berasaskan dana lebih rendah, overhed dan penurunan nilai pinjaman lebih tinggi.

Beliau berkata, pendapatan berasaskan pembiayaan bersih meningkat 5.4 peratus kepada RM4.55 bilion berbanding setahun sebelumnya disokong oleh peningkatan dalam pinjaman dan pengurusan kos pembiayaan yang berhemat.

"Bagaimanapun, perbelanjaan operasi meningkat 2.9 peratus kepada RM3.18 bilion berbanding tahun sebelumnya berikutan perbelanjaan pelaburan dalam segmen keupayaan dan infrastruktur teknologi.

"Namun, penurunan dalam kos sewaan ruang pejabat dan penyelenggaraan mengimbangi situasi itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2017, pendapatan bersih kumpulan menyusut 5.9 peratus kepada RM460.1 juta berbanding RM488.8 juta direkodkan suku sebelumnya.

Katanya, jumlah aset RHB Bank sebanyak RM230.2 bilion setakat 31 Disember 2017 manakala dana pemegang saham meningkat 6.5 peratus kepada RM23.1 bilion.

"Jumlah nisbah modal kumpulan juga kekal kukuh pada paras 17.2 peratus," katanya.

Beliau berkata, bagi segmen deposit pelanggan, ia kekal kukuh pada RM166.2 bilion.

Berdasarkan segmen, perbankan peruncitan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.08 bilion, meningkat 3.0 peratus berbanding tahun sebelumnya dipacu oleh pendapatan berasaskan bukan pembiayaan yang tinggi.

Perbankan Perniagaan kumpulan pula mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 4.8 peratus.

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai susut 12.1 peratus kepada RM392.5 juta berikutan perbelanjaan operasi yang tinggi.

Perbankan Islam kumpulan mencatatkan pertumbuhan 11.2 peratus keuntungan sebelum cukai kepada RM479.9 juta pada tempoh dikaji dengan segmen itu menyumbang 29.7 peratus jumlah pembiayaan dan pinjaman domestik berbanding 24.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Berita Harian X