Khamis, 1 March 2018 | 3:48pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (dua dari kiri) dan Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi MRT, Tan Sri Ali Hamsa (kiri) melawat tapak projek kerja pembinaan terowong laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di Bandar Malaysia. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRT, Datuk Seri Shahril Mokhtar (kanan). - Foto Asyraf Hamzah

Kos Laluan Kedua MRT rendah daripada jangkaan

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Bhd (MRT Corp) menjangkakan projek pembangunan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) akan siap lebih awal dengan kos kurang daripada anggaran yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata pihaknya mengunjurkan kos pembinaan laluan kedua MRT itu berjumlah RM32 bilion.

Beliau berkata, sebagai langkah penjimatan, sebanyak lapan Mesin Pengorek Terowong Pembolehubah Ketumpatan (TBM) yang digunakan bagi pembinaan laluan pertama MRT, Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dibaikpulih dan digunakan semula untuk pembinaan Laluan SSP.

"Apa yang menariknya, lapan mesin TBM dibaik pulih di Pusing, Perak yang membabitkan kepakaran tempatan melaksanakan kerja baik pulih mesin itu.

"Malah, langkah membaik pulih mesin TBM itu membantu mengurangkan kos pembelian mesin TBM baharu kira-kira 10-15 peratus," katanya ketika ditemui selepas pelancaran mesin pengorek terowong pertama daripada 12 mesin pengorek yang akan digunakan untuk pembinaan Laluan SSP di sini, hari ini.

Pelancaran mesin pengorek pertama itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Hadir sama, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi MRT Corp yang juga adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan kerja pembinaan Laluan SSP, Shahril berkata, setakat ini 22 peratus kerja pembinaan laluan MRT kedua sepanjang 52.2 kilometer itu sudah siap.

Beliau berkata, setakat ini, jumlah kontrak yang dianugerahkan adalah RM30 bilion dengan kurang RM10 bilion kontrak sudah diagihkan.

Malah, MRT Corp juga sudah mencapai sasaran pemberian kontrak lebih 50 peratus kepada Bumiputera.

Laluan SSP yang bermula dari Sungai Buloh ke Putrajaya itu akan mempunyai 35 stesen yang mana 11 stesen adalah stesen bawah tanah.

Fasa pertama MRT Laluan SSP dari Sungai Buloh ke Kampung Batu dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2021 dan sementara keseluruhan laluan dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2022.

MRT Laluan SSP berkemampuan membawa 529,000 penumpang setiap hari dengan lebih 100,000 peluang pekerjaan diwujudkan sepanjang tempoh pembinaannya.

Berita Harian X