Jumaat, 2 March 2018 | 12:50pm
KETUA Pegawai Korporat Kumpulan Axiata, Mohamad Idham Nawawi. - Foto Hafiz Sohaimi

ADIF melabur dalam syarikat pakar dron

KUALA LUMPUR: Dana Inovasi Digital Axiata (ADIF) membuat pelaburan terbesarnya setakat ini di dalam syarikat penyedia penyelesaian kepakaran dron, Aerodyne Group.

Pelaburan bernilai jutaan ringgit itu adalah salah satu petunjuk keyakinan ADIF terhadap teknologi dron Aerodyne yang kini digunakan di 10 negara.

ADIF ialah dana modal teroka korporat digital terbesar Malaysia yang ditubuhkan oleh Axiata Group Bhd (Axiata), Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Johor Corporation.

Ketua Pegawai Korporat Kumpulan Axiata, Mohamad Idham Nawawi, berkata sebagai salah satu pemacu pendigitan di Malaysia dan rantau ini, ADIF amat berbesar hati dalam memberi sokongan kepada Aerodyne dalam mencapai cita-citanya menjadi peneraju penyedia penyelesaian perniagaan berasaskan dron di peringkat antarabangsa.

"Dengan rangsangan daripada ADIF yang memiliki dana berjumlah RM100 juta dan pelaburan dalam 14 syarikat sehingga kini, Axiata komited dalam menjana pembangunan bakal usahawan digital di Malaysia.

"Axiata juga bertekad menyokong mereka dalam memenuhi cita-cita untuk membangunkan perniagaan dan mengembangkan jejak mereka serta bersaing dengan jaya dalam pasaran global.

"Sebagai rakan kerjasama Axiata yang penting melalui ADIF, Aerodyne akan terus menggunakan pelbagai peluang untuk meneruskan cita-cita menjadi peserta terkemuka dalam bidang digital yang baharu ini," kata beliau.

Rakan kongsi ADIF yang mengetuai pelaburan dalam Aerodyne, Kamarul Nizam, berkata pelaburan di dalam Aerodyne adalah yang terbesar dalam kalangan 14 syarikat yang dilabur ADIF setakat ini.

"Kami kagum dengan kebolehan teknologi dan skala yang ditunjukkan Aerodyne selepas mengenali dan menilai syarikat itu sejak pertengahan tahun lalu.

"Kami yakin bahawa dron dan kaedah analitik akan terus digunakan dalam aliran kerja dalam pelbagai industri. Titik perubahan untuk ia menjadi trend umum kini semakin hampir," katanya.

Teknologi dan penyelesaian dron Aerodyne kini digunakan di 10 negara termasuk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Denmark, Australia, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Penyelesaian terurus yang menyeluruh Aerodyne untuk dron dilaksanakan untuk projek utama dalam bidang minyak dan gas,

penghantaran/pengedaran kuasa, telekomunikasi, tenaga boleh diperbaharui, pembinaan, utiliti, infrastruktur dan lain-lain.

Antara pelanggannya ialah Permodalan Nasional Bhd (PNB), PETRONAS, Tenaga National Bhd (TNB), Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB), Sunway Constructions, Sime Darby dan e.co.

Ia mempunyai pejabat di Malaysia, Australia, AS, Singapura, UAE, Arab Saudi, Indonesia, Brunei, Denmark and UK.

Berita Harian X