Rabu, 14 March 2018 | 4:33pm
KETUA Pegawai Eksekutif Knowledgecom Corporation Sdn Bhd (KCOM), ST Rubaneswaran. - Foto Salhani Ibrahim

KCOM sasar latih 3,300 tenaga kerja berkemahiran tinggi

KUALA LUMPUR: Knowledgecom Corporation Sdn Bhd (KCOM), agensi latihan kemahiran aras tinggi menyasarkan untuk melatih 3,300 pekerja industri berkemahiran menjelang 2018, dalam usaha meningkatkan kemahiran generasi muda mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Generasi Keempat (IR 4.0).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, ST Rubaneswaran, berkata agensi itu sudah melatih kira-kira 1,800 tenaga kerja dengan sebahagian besarnya daripada sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pembuatan menerusi program latihan National Empowerment in Certification and Training for Next Generation Workforce (Nect-Gen) yang diperkenalkan pada 2016.

"Dalam usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja generasi hadapan, KCOM bekerjasama dengan 11 pusat kemahiran kerajaan negeri untuk membuka Pusat Kecemerlangan Latihan (CoET) Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Pada masa kini, kita sudah pun membuka 26 CoET dan menjangkakan angka itu akan bertambah kepada 40 CoET pada pertengahan tahun ini," katanya ketika membentangkan laporan Industri 4.0 Nect-Gen di sini, hari ini.

Katanya, angka itu masih kecil berbanding jumlah sebenar tenaga kerja di Malaysia iaitu sembilan juta orang.

"Dengan pembukaan CoET dijangka membantu usaha KCOM untuk merealisasikan wawasan Malaysia memiliki tenaga buruh berkemahiran tinggi sekurang-kurangnya 35 peratus menjelang 2020," katanya.

Program itu membabitkan lima kemahiran latihan yang dijalankan di CoET dan APIC di bawah program Nect-Gen Industri 4.0.

Setiap kemahiran memerlukan dua hari pemahaman mengenai Industri 4.0 diikuti oleh jejak teknologi dan ujian.

Berdasarkan kajian, Industri 4.0 dijangka mengurangkan kos operasi syarikat sebanyak 3.6 peratus setahun manakala kadar kecekapan meningkat sehingga 4.1 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Melangkah kehadapan, Rubaneswaran berkata, syarikat itu akan memanfaatkan program latihan yang menyokong inisiatif Industri 4.0 sebagai sumbangan ketara kepada pertumbuhan syarikat.

Perolehan syarikat itu meningkat kira-kira RM11 juta pada 31 Mac 2015 berbanding RM7 juta pada tahun sebelumnya dan menjangkakan perolehan syarikat akan berkembang pada kadar 30 peratus setiap tahun.

"Selepas memberi tumpuan kepada pengembangan di pasaran Malaysia pada 2016, KCOM kini mengintai pasaran ASEAN terutama Filipina dan Vietnam," katanya.

231 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »