Isnin, 19 March 2018 | 6:36pm

Kad Mesra PETRONAS beri lebih mata ganjaran

KUALA LUMPUR: Menyedari keperluan untuk tampil berbeza dalam industri kad kesetiaan, Petronas Dagangan Bhd (PDB) sentiasa berusaha untuk mempelbagai nilai kad kesetiaan Kad Mesra, khusus kepada pelanggan setianya.

PDB mengambil inisiatif menyemak kembali struktur kad kesetiaannya, iaitu dari satu ke tiga mata ganjaran bagi setiap isian satu liter minyak, membolehkan pelanggannya meraih lebih banyak mata ganjaran dengan mudah dan cepat.

Ketua Perniagaan Runcit PDB, Aadrin Azly, berkata struktur yang diguna pakai oleh PDB ketika ini menawarkan nilai tertinggi dalam pasaran runcit bahan api, seterusnya memberikan lebih penjimatan kepada pemandu di Malaysia.

Beliau berkata, meskipun tidak menawarkan bahan api percuma, namun pihaknya yakin kaedah Kad Mesra dapat membantu untuk meringankan beban serta mengurangkankan beban kesan dari kos sara hidup.

"Struktur baharu Kad Mesra ini dapat menawarkan lebih penjimatan kerana pengguna dapat menebus mata secara lebih cepat dan mudah, di mana-mana di lebih daripada 1,000 stesen Petronas di seluruh negara," katanya.

Kad Mesra juga mempunyai banyak program dan kempen yang berjalan sepanjang tahun yang mana ia adalah inisiatif yang dirancang khusus untuk memenuhi keperluan gaya hidup pelanggan kami, menjangkaui perkhidmatan di stesen Petronas.

"Matlamat kami adalah untuk pelanggan gembira apabila mengetahui bahawa dalam semua yang kami lakukan, adalah untuk menjaga kepentingan terbaik pelanggan setia kami," katanya.

Selain itu, tambahan kepada pungutan mata ganjaran yang lebih cepat, ahli Kad Mesra juga berpeluang menikmati promosi dan tawaran hebat lain sepanjang tahun seperti Fueling Prosperity pada 12 Februari hingga 15 Mac lalu.

Bermula 19 Mac, menerusi kempen March Mania, pelanggan yang mengisi minyak pada minimum RM40 bagi Petronas Primax, akan menerima RM1 bagi setiap pembelian yang dilakukan di Kedai Mesra yang akan berakhir pada 25 Mac ini.

Penstrukturan Kad Mesra itu bukan sekadar menawarkan mata ganjaran untuk penebusan minyak, malah ia lebih dari itu apabila PDB melalui kerjasamanya dengan Shieldcard Holdings Sdn Bhd dan Zurich General Insurance Malaysia Bhd menyediakan Pelan Kemalangan Peribadi.

Pelan yang hanya memerlukan 100 mata Mesra atau hanya RM1 setiap bulan itu begitu mudah untuk diperoleh apabila ahli Kad Mesra berbelanja minimum RM100 setiap bulan di stesen Petronas yang memberi perlindungan sehingga RM50,000.

Berita Harian X