Isnin, 26 March 2018 | 8:00pm

CIMB dinobat Bank Runcit Terbaik dua tahun berturut-turut

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd (CIMB) dinobat sebagai Bank Runcit Terbaik di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut pada majlis Anugerah Kecemerlangan Perbankan Asia dalam Perkhidmatan Kewangan Runcit 2018, baru-baru ini.

Pada majlis itu, CIMB turut menerima anugerah bagi Inisiatif Produktiviti, Kecekapan dan Automasi Terbaik bagi 2018.

Anugerah Perbankan Asia adalah antara anugerah berprestij industri itu berikutan kriteria ketat untuk inovasi dalam kewangan runcit di Asia Pasifik, Asia Tengah, Asia Barat dan Afrika.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta, berkata sebagai peneraju bank universal ASEAN, CIMB akan terus berinovasi dalam usaha menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

"Kami amat menghargai untuk menerima pengiktirafan menerusi anugerah ini, yang mana ia mencerminkan tumpuan yang lebih mendalam pada digital untuk strategi T18 kami.

"Penawaran digital semasa kami seperti CIMB Enhaced Virtual Assistant (EVA) hanyalah sebagai permulaan. CIMB sedang menuju ke arah untuk menjadi bank pencabar digital dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), data besar, sains data dan analisis untuk terus memberi pengalaman menyenangkan untuk 13 juta pelanggan kami di seluruh ASEAN.

"Kami menghargai kepercayaan pelanggan terhadap CIMB dan anugerah ini akan menyemarakkan semangat kami untuk terus meningkatkan nilai kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

CIMB sebelum ini menerima anugerah Bank Runcit Terbaik di Malaysia serta Produk Perbankan Internet Terbaik Asia untuk EVA semasa Anugerah Perbankan Asia 2017 yang mana syarikat perbankan itu turut menerima Emas bagi Pengalaman Digital Terbaik pada Anugerah Kecemerlangan Pengalaman Pelanggan Asia 2017.

Sejak itu, EVA terus dipertingkatkan dengan keupayaan perbualan serta fungsi 'spend analyser' untuk membantu pelanggan membuat keputusan kewangan lebih bijak.

CIMB juga adalah bank pertama di negara untuk menerima kelulusan sandbox kawal selia daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC), kaedah elektronik dan tanpa kertas untuk mengesahkan identiti pelanggan, yang bakal menjadi pengganti berdaya maju bagi keperluan pengesahan bersemuka sedia ada dalam dunia mudah alih.

Berita Harian X