Selasa, 27 March 2018 | 11:42am
KETUA Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta ketika menerima anugerah Bank Runcit Terbaik di Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP

CIMB diiktiraf Bank Runcit Terbaik di Malaysia

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd merangkul anugerah Bank Runcit Terbaik di Malaysia untuk tahun kedua berturut-turut sempena Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Asia Banker dalam Perkhidmatan Kewangan Runcit 2018, baru-baru ini.

CIMB turut menerima anugerah bagi Produktiviti, Kecekapan dan Inisiatif Automasi, Aplikasi atau Program Terbaik 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta, berkata sebagai peneraju bank universal ASEAN, CIMB terus berinovasi untuk menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Anugerah ini mencerminkan tumpuan kami terhadap transformasi digital dalam strategi T18.

"Perkhidmatan digital terbaharu seperti Penolong Pembantu Maya (EVA) - hanyalah permulaan, kerana kami membina keupayaan untuk menjadi bank pencabar digital dengan memanfaatkan kecerdasan buatan, data besar, sains data dan analitik untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada 13 juta pelanggan kami di seluruh ASEAN," katanya ketika menerima anugerah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anugerah Asia Banker adalah antara anugerah paling berprestij kerana memerlukan kriteria yang ketat untuk program inovasi dalam pembiayaan runcit di Asia Pasifik, Asia Tengah, Asia Barat dan Afrika.

CIMB adalah bank pertama di Malaysia menerima kelulusan 'regulatory sandbox' dari Bank Negara Malaysia untuk Know-Your-Customer elektronik (e-KYC), kaedah tanpa kertas dan elektronik untuk mengesahkan identiti pelanggan.

Ia dijangka menjadi alternatif yang berdaya maju untuk keperluan pengesahan muka ke muka dalam dunia serba pantas dan mudah alih hari ini.

Berita Harian X