Rabu, 28 March 2018 | 6:48pm
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia bagi Perkhidmatan Digital, Transformasi dan Korporat, Aireen Omar. - Foto Rosela Ismail
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia bagi Perkhidmatan Digital, Transformasi dan Korporat, Aireen Omar. - Foto Rosela Ismail

AirAsia bekerjasama dengan Plug and Play Tech Centre

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, bekerjasama dengan Plug and Play Tech Centre, sebuah platform inovasi pemula niaga global berpangkalan di Lembah Silikon, untuk mengenal pasti, memantau dan menyokong syarikat pemula niaga yang membangunkan produk dan teknologi terkini bagi sektor pengangkutan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia bagi Perkhidmatan Digital, Transformasi dan Korporat, Aireen Omar, berkata kerjasama itu akan membolehkan syarikat penerbangan itu mengenal pasti teknologi termaju yang akan membantu mengekalkan kepimpinan AirAsia dalam kos dan pengalaman pelanggan.

"AirAsia akan menjadi rakan utama bagi program Perjalanan dan Hospitaliti Plug and Play bagi mendidik perusahaan dan mengoptimumkan teknologi baharu," katanya sambil menambah bahawa ini akan mengubah AirAsia kepada sebuah syarikat digital global daripada sebuah syarikat penerbangan biasa.

Sebagai peneraju dalam penggunaan teknologi baharu, AirAsia menjadi syarikat pertama yang memperkenalkan tempahan penerbangan melalui khidmat pesanan ringkas pada 2003, katanya.

"Syarikat juga membenarkan penumpang menempah penerbangan mereka, mendaftar masuk dan membuat perubahan kepada tempahan melalui laman webnya, dan ia juga mencipta sebuah aplikasi mudah alih.

"Kedua-dua laman web dan aplikasi mudah alih itu merangkul anugerah Laman Web Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia dan anugerah Aplikasi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Dunia, masing-masing pada Anugerah Pelancongan Dunia 2015," katanya.

Menurut Aireen, AirAsia juga menjadi syarikat penerbangan paling awal dalam memakai kiosk layan diri yang membenarkan pelanggan membuat pendaftaran masuk serta mencetak pas mereka sendiri, label beg, fungsi kemasukan beg di lapangan terbang dan mencetak label beg sendiri di rumah.

Baru-baru ini, syarikat penerbangan itu memulakan sistem pintu keberangkatan masuk dengan menggunakan teknologi pengecaman wajah, ini menjadikan ia sebagai syarikat penerbangan yang pertama di Asia yang membuat operasi penerbangan pelanggan bersifat automatik sepenuhnya.

Katanya, AirAsia juga banyak membuat pelaburan dalam perkhidmatan digital kerana ia telah memulakan proses transformasi untuk menjadi sebuah syarikat penerbangan yang benar-benar digital, merangkumi aplikasi perkhidmatan kewangan BigPay, hiburan dan sambungan dalam pesawat ROKKI, program kesetiaan AirAsia BIG dan logistik RedBox. - BERNAMA

Berita Harian X