Khamis, 29 March 2018 | 4:16pm

Unit Axiata lancar perniagaan pemasaran digital bersepadu

KUALA LUMPUR: Axiata Digital, cabang perkhidmatan digital Axiata Group Bhd, melancarkan "ada" (analisis, data, pengiklanan), sebuah perniagaan pemasaran digital bersepadu yang menggabungkan sains data, teknologi dan kreativiti untuk jenama serta perniagaan di Asia.

Dalam satu kenyataan, Axiata Digital berkata, ada yang disokong oleh kekayaan data telekomunikasi dan inventori teknologi AdParlor serta data pihak ketiga, akan membantu jenama dan perniagaan memenuhi permintaan pengguna yang pantas berkembang dalam platform digital.

Menurutnya, ada merangkumi pasukan yang dianggotai lebih 180 pakar digital di seluruh 10 pasaran di Asia, dan kini termasuk pasukan dengan 40 jurutera dan saintis data.

Ada turut memanfaatkan platform pengurusan data milikan, XAct, yang mempunyai data lebih 300 juta individu, menjadikannya berkedudukan unik untuk mengoptimumkan perancangan perjalanan pengguna, pemprofilan pelanggan dan sasaran tujuan, menurut Axiata Digital.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Khairil Abdullah, berkata menerusi penyepaduan​​​​​​ ​tawaran berkenaan, Axiata Digital dapat memanfaatkan data ke arah merapatkan lingkaran bagi jenama daripada​​​​​​​ penglibatan pelanggan​​​​​​​ untuk memperolehi lonjakan seterusnya dalam keberkesanan pemasaran digital.

Sementara itu Pemangku CEO ada, Srinivas Gattamneni, berkata analisis data adalah keutamaan bagi masa depan pengiklanan dan menjangkakan 90 peratus keputusan pemasaran akan ditentukan oleh data dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

"Berasaskan akses kepada kekayaan data telekomunikasi dan pasukan pakar yang mementingkan ketelusan, ada menawarkan peluang kepada jenama dan perniagaan untuk berkomunikasi dengan pengguna berasaskan ketepatan yang belum pernah wujud sebelum ini dalam usaha mencapai hasil perniagaan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X