Ahad, 15 April 2018 | 5:15pm
TENGKU Ahmad Badli Shah Raja Hussin. - Foto Hafiz Sohaimi

PMB Tijari peruntuk dana RM200 juta

KUALA LUMPUR: PMB Tijari Bhd (PMB Tijari), syarikat kerjasama Pelaburan MARA Bhd (Pelaburan MARA) dan Kumpulan Islamic Development Bank (IDB) memperuntukkan pembiayaan patuh shariah khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berjumlah RM200 juta tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata peruntukan lebih tinggi berbanding RM180 juta pada 2014 hingga 2017 bakal dimanfaatkan oleh 40 usahawan tempatan.

Katanya, pembiayaan fleksibel berdasarkan keperluan semasa syarikat membabitkan jumlah maksimum RM15 juta itu, akan membantu PKS yang memiliki kepakaran khusus dalam bidang perniagaan tetapi berdepan kekangan modal memulakan perniagaan.

"PMB Tijari menawarkan pembiayaan fleksibel kepada usahawan tempatan khususnya PKS yang tidak mendapat pinjaman bank kerana masih baru dalam perniagaan.

"Menyedari ini adalah satu keperluan kepada PKS, kita tampil dengan skim pembiayaan khusus dan ia terbuka kepada semua sektor perniagaan.

"Apa yang penting, PKS perlu memiliki kepakaran khusus dalam perniagaan yang diceburi dan mendapat peluang perniagaan termasuk kontrak kerajaan atau daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC). PMB Tijari akan bantu sebaik mungkin," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

PMB Tijari yang mula menawarkan pembiayaan pada 2014 hingga 2017 sudah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM180 juta kepada 83 usahawan, di mana semua PKS berkenaan berjaya menguruskan operasi perniagaan dan mendapat pelbagai kontrak dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan, perkilangan dan makanan.

Tengku Ahmad Badli Shah yang juga Ketua Pegawai Operasi Pelaburan MARA, berkata walaupun pembiayaan itu ditawarkan kepada syarikat baharu, namun syarat kelulusan juga sebenarnya amat mudah di mana PMB Tijari hanya mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk menyalurkan pembiayaan selepas melalui proses penilaian wajar.

"Penilaian wajar kami adalah berdasarkan standard aplikasi kredit, di mana kita amat mementingkan pembangunan keusahawanan berbanding syarat kewangan ketat seperti mana yang diamalkan syarikat kewangan lain," katanya.

Sementara itu, penerima pembiayaan PMB Tijari, Syed Shukran Syed Muhamad, berkata kemudahan yang ditawarkan syarikat itu membolehkan syarikatnya SMSR Resources yang terbabit dalam perkhidmatan pembekalan dan servis untuk sektor marin memulakan perniagaan.

Katanya, PMB Tijari sudah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM3.4 juta sejak 2014, sekali gus membolehkan SMSR Resources memenuhi kontrak membekalkan kenderaan pelbagai permukaan (ATV), jet ski dan bot gentian kaca kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Ramai yang tidak tahu tentang pembiayaan yang ditawarkan PMB Tijari ini. Prosedurnya amat mudah jika dibandingkan dengan bank. Kemudahan yang ditawarkan membolehkan kami berkembang dan memiliki rekod prestasi lebih baik untuk mendapat pembiayaan lebih besar daripada syarikat perbankan," katanya.

Berita Harian X