Selasa, 17 April 2018 | 6:01pm

Yoodo sasar hingga sejuta pengguna tahun ini

PETALING JAYA: Penyedia telekomunikasi baharu, Yoodo optimis mampu mencapai sasaran 500,000 hingga satu juta pengguna tahun ini.

Yoodo yang dimiliki dan beroperasi di bawah Celcom Axiata Bhd turut mencatatkan 100,000 muat turun aplikasinya dalam tempoh 10 minggu sejak dilancarkan pada 29 Januari lalu.

Ketuanya, Farid Yunus, berkata secara keseluruhannya pihaknya menyasarkan seramai lima juta pengguna Yoodo dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Farid berkata, berbeza dengan penyedia telekomunikasi lain, Yoodo menyasarkan golongan muda yang gemar membeli belah atas talian sebagai pelanggan utama mereka.

"Ini kerana konsep kami yang memilih platform digital sebagai medium pemasaran kerana ia adalah kehendak atau ikutan pengguna kini.

"Malah kad sim kami juga hanya dijual menerusi platform digital dan aplikasi Yoodo. Dalam tempoh enam bulan pertama, syarikat juga memperuntukkan 80 peratus perbelanjaan untuk kempen pemasaran digital dan 20 peratus untuk papan iklan digital.

"Tetapi selepas enam bulan, kami akan menumpukan kempen 100 peratus dalam platform digital," katanya di luar Appies Malaysia 2018 di sini hari ini.

Yoodo membolehkan pengguna memenuhi keperluan Internet, panggilan telefon atau SMS dengan lebih 1,000 kombinasi mudah.  

Semuanya boleh dilakukan hanya dengan menggunakan aplikasi yang mesra Android dan iOS. 

Farid berkata, pelanggan mempunyai kuasa untuk menentukan pakej mudah alih mana yang mereka mahu. 

Beliau berkata, pengguna kini berkuasa memilih berbeza dengan cara tradisional operator yang menentukan pelan kepada pelanggan.  

Pakej paling asas menunjukkan pelanggan boleh mendapatkan data sebanyak 2GB pada harga RM20 atau 50 minit masa berbual pada harga RM7 atau 50 SMS pada kadar RM5.

207 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »