Rabu, 25 April 2018 | 3:54pm
DATUK Khairussaleh Ramli pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-52 bank itu di sini, hari ini. - Foto Owee Ah Chun
DATUK Khairussaleh Ramli pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-52 bank itu di sini, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

RM200 juta untuk program dan inisiatif digital RHB Bank

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd (RHB Bank) memperuntukan pelaburan bernilai RM200 juta bagi membangunkan program dan inisiatif digital kumpulan perbankan itu dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata menerusi pelancaran Program Transformasi Digital tahun lalu, kumpulan sentiasa komited dalam menjadi peneraju bank digital di samping meningkatkan pengalaman pelanggan.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya telah memperkenalkan tiga produk iaitu aplikasi mudah alih RHB MyHome, RHB Smart Account dan i-Smart khusus bagi usahawan.

"Sebagai sebahagian perjalanan dalam program transformasi digital ini, pada separuh pertama tahun ini kami dijangka melancarkan sekurang-kurangnya tiga produk digital baharu.

"Produk baru itu dilihat lebih berkaitan kepada segmen gadai janji dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berupaya meningkatkan kepuasan pelanggan RHB Bank.

"Buat masa ini kami tidak boleh mendedahkan mengenainya, namun apa yang boleh dikatakan ia menawarkan ciri berbeza berbanding produk sebelum ini," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-52 bank itu di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan RHB Bank, Syed Ahmad Taufik Albar.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, kumpulan perbankan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM1.95 bilion berbanding RM1.68 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan sebanyak 16 peratus itu dipacu oleh pendapatan pembiayaan bersih, kerugian pinjaman rosot nilai yang rendah serta rosot nilai yang rendah bagi kerugian aset lain.

Sementara itu, mengulas mengenai pelan pertumbuhan bagi operasi luar negaranya, Khairussaleh berkata, kumpulan perbankan itu akan menumpukan kepada perniagaan sedia ada dan tidak berhasrat untuk menembusi pasaran lain di Asia Tenggara.

"Meskipun Filipina adalah satu-satunya negara di rantau ini yang tidak mempunyai kehadiran RHB Bank, namun buat masa ini kami hanya mahu mengukuhkan operasi di Malaysia dan beberapa negara lain.

"Malah, ini juga disebabkan oleh pelan Kumpulan untuk menjadi bank tiga teratas dari segi prestasi bagi menyokong strategi lima tahun bank iaitu FIT22," katanya.

Kumpulan RHB Bank sehingga kini mempunyai kehadiran di 10 negara di ASEAN dan Hong Kong dengan kapasiti lebih 14,000 kakitangan di seluruh 330 cawangannya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X