Jumaat, 27 April 2018 | 12:35pm

Leonardo Helicopters yakin prospek di Malaysia

KUALA LUMPUR: Syarikat sivil dan pertahanan global, Leonardo Helicopters yakin dapat memperoleh kontrak bagi helikopternya daripada pasukan keselamatan malaysia memandangkan rekod prestasinya yang baik.

Naib Presiden Jualan Komersial Sivil bagi Asia Pasifik, Vincenzo Alaimo berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melahirkan minat terhadap helikopter ringan.

"Kami telah menyediakan perkhidmatan yang baik. Ketika kini, angkatan tentera mengendalikan helikopter kami dan ia terbukti bagus; dan kami mempunyai peluang baik untuk terus berkembang di Malaysia," katanya kepada Bernama sebelum pameran dan persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 (DSA 2018), baru-baru ini.

Alaimo, yang juga Pengurus Besar AgustaWestland Malaysia Sdn Bhd (AW Malaysia), unit Leonardo SpA, berkata kumpulan itu baru-baru ini memperoleh kontrak untuk membekalkan helikopter AW139 kepada Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata Leonardo Helicopters berminat untuk menyediakan helikopter yang bersaiz lebih besar dan panjang, terutama bagi misi mencari dan menyelamat.

"Kami merancang untuk lebih banyak melabur bagi pekerja (dalam usaha) untuk maju dan bertambah baik. Menyediakan helikopter yang baik satu perkara, tetapi menyenggara dan memastikan ia boleh terbang mengikut keperluan juga merupakan suatu yang penting," katanya.

Alaimo berkata Leonardo Helicopters juga menyediakan sokongan dari segi penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), termasuk membekalkan alat-alat ganti bagi helikopternya.

"Kami sedar bahawa kerajaan di seluruh dunia telah mengetatkan bajet mereka bagi perbelanjaan operasi, yang mana ia suatu perkara yang biasa. Cabaran kami adalah untuk menambah baik helikopter dan perkhidmatan kami dan menyediakan penyelesaian yang efektif dari segi kos," katanya.

Leonardo Helicopters menawarkan sokongan 'power-by-the-hour' pada kos tetap dengan penambahan skim baharu dan idea baharu, katanya, sambil menambah syarikat gergasi helikopter global itu akan terus mempromosikan penyelesaiannya dalam rantau ini bagi pelanggan swasta dan kerajaan.

AW Malaysia ialah hab serantau Leonardo Helicopters Division bagi penyenggaraan dan logistik bagi pelanggan sivil dan tentera di Asia Tenggara dan beberapa negara lain, yang menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 200 helikopter, katanya.

Leonardo Helicopters ialah pengendali MRO bagi varian helikopter A109, A119, AW139, dan AW189 di Malaysia.

Alaimo berkata hab di Malaysia memiliki inventori alat-alat ganti serantau yang bernilai lebih 60 juta euro.

Leonardo Helicopters melabur lebih RM50 juta di Malaysia sejak empat tahun lalu, katanya, sambil menambah kumpulan itu mencatatkan hasil bernilai lebih STG50 juta di rantau ini tahun lalu.

Semasa DSA 2018, syarikat itu mempamerkan AW159 Wildcat, evolusi helikopter Lynx, yang terkenal di dunia. Wildcat mempunyai pelbagai keupayaan dan platform kompak dan mudah dikendalikan.

-BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X