Jumaat, 27 April 2018 | 5:03pm

Maybank MaxiHome Ezy tawar pinjaman RM10 bilion

KUALA LUMPUR: Maybank menawarkan pinjaman perumahan bernilai RM10 bilion menerusi skim pinjaman perumahan mampu milik baharu dikenali Maybank MaxiHome Ezy.

MaxiHome Ezy adalah skim yang menawarkan pilihan pembayaran balik bulanan lebih rendah untuk lima tahun pertama, dalam usaha untuk menyediakan pembeli khususnya pertama kali, fleksibiliti untuk memiliki kediaman.

Skim di bawah perbankan Islam dan konvensional membolehkan pelanggan membayar faedah atau keuntungan pinjaman untuk lima tahun pertama, manakala ansuran penuh bermula dari tahun keenam.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata skim pinjaman baharu itu adalah inisiatif Maybank untuk menyokong pembeli yang berdepan isu kemampuan apabila membeli kediaman terutama generasi muda yang baru bekerja.

"Maybank MaxiHome Ezy membolehkan pembeli menguruskan aliran tunai lebih cekap dalam tempoh lima tahun pertama menerusi komitmen bulanan lebih rendah.

"Ia juga membolehkan pembeli memiliki lebihan tunai dalam tangan yang boleh digunakan untuk tujuan lain termasuk kos pemindahan dan ubah suai," katanya kepada media selepas majlis pelancaran Maybank MaxiHome Ezy sempena Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2018 di sini, hari ini.

Skim pinjaman terbaharu dilancarkan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr Mary Wong Lai Lin.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar; dan Pengerusi Penganjur MAPEX 2018, Datuk Ng Seing Liong.

Mohamed Rafique, berkata selain bayaran yang fleksibel, skim itu juga direka unik untuk membolehkan pembeli membuat pembayaran tambahan pinjaman dan mengurangkan bayaran tambahan itu tanpa sebarang penalti.

Selain MaxiHome Ezy,  baru-baru ini, Maybank memperkenalkan HouzKey,  skim inovatif sewa milik hartanah (RTO) atau berkonsepkan sewa dahulu kemudian miliki kediaman, yang mana menjadi suatu program pembiayaan pertama seumpamanya di Malaysia.

Berita Harian X