Selasa, 1 Mei 2018 | 2:41pm

Alliance Bank terima pengiktirafan dan anugerah

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) baru-baru ini menerima pengiktirafan dan anugerah untuk produk dan penyelesaian inovatifnya, Alliance Cash2Home, pada Majlis Anugerah RBI Trailblazer 2018.

Pada majlis anugerah itu, aplikasi mudah alih kiriman wang asing pertama Malaysia oleh Alliance Bank terbabit mendapat pengiktirafan dari segi "Kecemerlangan dalam Penyesuaian-Perbankan" dan "Penawaran Pelbagai-Saluran Terbaik".

Dalam satu kenyataan, Alliance Bank berkata, Alliance Cash2Home turut diiktiraf sebagai "Peneraju Transformasi Digital - Inovasi Gabungan-Pengalaman" Malaysia pada majlis Anugerah Transformasi Digital (DX) IDC pada Oktober 2017.

"Alliance Cash2Home menawarkan nilai tambahan kepada majikan dan pekerja asing mereka dengan merapatkan jurang dalam keperluan perbankan serta menghapuskan sebarang risiko menguruskan tunai yang dihadapi majikan.

"Gabungan pengenalan bio-metrik wajah dan mata membolehkan pekerja melaksanakan pembukaan akaun yang selamat, cekap serta mudah di pejabat majikan," katanya.

Sementara itu, platform perbankan enterpris Alliance Bank, Alliance BizSmart Solution, terus menerima penghargaan daripada pasaran serantau dan antarabangsa.

Dua minggu lalu, Alliance BizSmart Solution diiktiraf sebagai "Inisiatif, Aplikasi dan Program Jualan Digital Terbaik" pada Anugerah Perkhidmatan Kewangan Runcit 2018 dan memenangi dua anugerah serantau, "Perkhidmatan Berinovasi Cemerlang" dan "Model Perniagaan Inovasi Cemerlang" pada Anugerah Trailblazer RBI Asia 2018 di Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich, berkata pihaknya berpuas hati atas pencapaian Alliance Cash2Home selepas menerima beberpa anugerah sejak ia dilancarkan dalam tempoh setahun lalu.

"Selain itu, kami menawarkan penyelesaian perniagaan perbankan kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Alliance BizSmart.

"Kami akan sentiasa menaik taraf platform BizSmart untuk memastikan ia terus menerajui pasaran," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan Alliance Bank, orang ramai boleh melayari laman web rasmi syarikat perbankan itu di pautan www.alliancebank.com.my.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X