Selasa, 1 Mei 2018 | 10:32pm

Pelaburan Arkema-CJ meningkat kepada RM3.3 bilion

KUALA LUMPUR: Pelaburan Arkema Perancis dan CJ CheilJedang (CJ) di Malaysia meningkat kepada RM3.3 bilion dalam projek kilang bio-metionin di Taman Biopolimer Kertih (KBP), dengan pelaburan akan ditambah sebanyak RM1.2 bilion untuk menggandakan kapasitinya.

Kilang itu mula beroperasi pada 2015 dengan pelaburan sebanyak RM2.1 bilion.

Beroperasi di kawasan seluas 70 hektar di KBP, Terengganu, kemudahan bersepadu itu menyumbang rizab mata wang Amerika Syarikat kepada Malaysia apabila menjana pendapatan tahunan sebanyak RM1.5 bilion, dengan 95 peratus penghasilan dieksport, membeli bahan mentah utama daripada pengeluar tempatan, dan menggunakan lebih daripada 500 pekerja tempatan, kebanyakannya profesional berasaskan pengetahuan dan mahir, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

CJ CheilJedang, syarikat berasaskan makanan, makanan ternakan, dan biosains dari Korea Selatan, manakala Arkema ialah syarikat kimia global yang adalah pengeluar bahan kimia terkemuka di Perancis.

Dalam jangka panjang, kemudahan bersepadu itu dijangkakan memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara kasar dan menyediakan 2,500 pekerjaan 'hijau' untuk Malaysia menjelang 2020.

Ini termasuk lebih 500 profesional yang digaji oleh CJ dan Arkema, dengan 60 peratus terdiri daripada pekerja teknikal dan mahir tahap tinggi seperti ahli mikrobiologi, ahli kimia, jurutera dan bioteknologi.

Kemudahan bersepadu itu memanfaatkan bekalan bahan mentah, perkhidmatan dan kemudahan tempatan sedia ada di Kerteh, yang diterjemahkan kepada pewujudan aktiviti ekonomi dan perniagaan baharu untuk pembekal tempatan dan penyedia perkhidmatan seperti PETRONAS, Terminal Kerteh, Pelabuhan Kuantan, Tenaga Nasional Bhd dan penyedia perkhidmatan lain, katanya.

Kilang ini juga melakukan Penyelidikan dan Pembangunan untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang khusus seperti kejuruteraan kimia dan industri bioteknologi, dan memberi peluang kerjasama dengan universiti tempatan dan institusi penyelidikan menjadi pusat kecemerlangan bioteknologi.

Dipromosikan bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Perbandanan Pembangunan Bioekonomi serta dipermudahkan oleh Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Sains Teknologi & Inovasi (MOSTI), dan Kedutaan Perancis dan Korea Selatan, peluasan kemudahan pengilangan bersepadu RM3.3 bilion di KBP mengesahkan statusnya sebagai pelaburan tunggal terbesar dalam sektor bioteknologi Malaysia setakat ini.

Projek ini telah memenuhi komitmen pelaburan terkumpul sebanyak RM3 bilion dalam tempoh 10 tahun. - BERNAMA

Berita Harian X