X
Khamis, 3 Mei 2018 | 12:11pm

Xiaomi bakal lancar IPO terbesar dunia

SHANGHAI: Xiaomi, pengeluar telefon pintar China, dijangka melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dunia selepas memfailkan dokumen kepada Bursa Saham Hong Kong.

Xiaomi mengemukakan dokumen kepada Bursa Saham Hong Kong semalam, dengan membentangkan butiran kewangan bagi melengkapkan peringkat permohonan bagi pengumuman penuh IPO.

Jika ia dimuktamadkan, saham yang akan ditawarkan di bekas tanah jajahan Britain itu dikatakan bersaing dengan New York dan Shanghai bagi penyenaraian Xiaomi.

Kenyataan yang dipaparkan dalam laman web bursa itu, bagaimanapun tidak menunjukkan jumlah yang berpotensi akan diraih Xiaomi menerusi IPO.

Namun, Bloomberg News, memetik beberapa sumber rapat melaporkan, ia dijangka mencecah sekurang-kurangnya AS$10 bilion (RM39.4 bilion) dan penilaian perniagaan boleh mencecah sehingga AS$100 bilion (RM394 bilion).

IPO Xiaomi bakal menyaingi Alibaba yang berjumlah AS$25 bilion (RM98.5 bilion) ketika disenaraikan di New York pada 2014.

Pengeluar telefon pintar China memanfaatkan perubahan di Hong Kong yang mana syarikat yang memiliki kelas saham berbeza boleh disenaraikan di bursa saham negara itu.

Dalam makluman kepada bursa, Xiaomi mencatatkan kerugian 43.9 bilion yuan (RM27.2 bilion) pada 2017, namun pendapatannya melonjak 67.5 peratus kepada 114.5 bilion yuan (RM70.85 bilion).

- AFP

Berita Harian X