Jumaat, 4 Mei 2018 | 5:46pm
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Eksekutif THHE, Suhaimi Badrul Jamil (kiri) bersama Pengerusi TH Heavy Engineering, Datuk Seri Johan Abdullah semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa TH Kejuruteraan berat di Bukit Kiara Equestrian Resort. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

THHE perjelas penolakan pandangan juruaudit

KUALA LUMPUR: TH Heavy Engineering Bhd (THHE) menjelaskan mengenai laporan media yang kononnya mendakwa penolakan pandangan juruauditnya, Messrs Deloitte PLT bagi penyata kewangan diauditnya bagi tahun yang berakhir 31 Disember 2017 yang mempersoalkan keupayaan syarikat itu untuk meneruskan operasinya.

Ketua Pegawai Eksekutif THHE, Suhaimi Badrul Jamil berkata "memang benar akaun-akaun itu disediakan berdasarkan kepada andaian kumpulan akan dapat merealisasikan asetnya dan memenuhi liabilitinya untuk terus beroperasi.

"Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa dua komponen utama cadangan pelan penyusunan THHE, iaitu Skim Pengaturan (SoA) dan Cadangan Novasi Kontrak JX Nippon (cadangan novasi) kepada Yinson Energy Sdn Bhd (YESB), dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini," katanya.

THHE dan tiga anak syarikatnya, iaitu THHE Fabricators Sdn Bhd (THFSB), THHE Offshore Services Sdn Bhd dan O&G Works Sdn.Bhd (OGW) sepanjang tahun masing-masing telah merumuskan SoA dengan kreditor mereka masing-masing, katanya dalam satu kenyataan.

THHE dimasukkan ke status Nota Amalan 17 (PN17) pada 28 April 2017, dan ketika ini sedang merangka cadangan pelan penyusunan untuk keluar daripada kategori itu.

Pada 31 Disember 2017, Deloitte menyatakan mereka "tidak dapat memastikan keupayaan kumpulan itu untuk mencapai operasi yang mampan dan berdaya maju bagi menjana aliran tunai mencukupi daripada aktiviti operasi mereka serta perumusan dan pelaksanaan keseluruhan cadangan pelan penyusunan yang tepat pada masa dan berjaya.

Terdahulu pada 15 Disember 2017, THHE mendapat sokongan daripada kreditor skimnya di bawah skim tersebut di Court Convened Creditors Meeting (CCM) dengan 94.5 peratus daripada kreditor tidak bercagar menyokong syarikat itu.

Pada 15 Februari tahun ini, pemegang saham THHE juga meluluskan cadangan novasi, yang juga sebahagian penting daripada pelan penyusunannya pada mesyuarat agung luar biasa syarikat.

Hasil daripada cadangan novasi itu akan digunakan kebanyakannya untuk membayar kreditor skim menurut terma-terma skim masing-masing, kata THHE.

Suhaimi berkata pada 30 April tahun ini, THHE memeterai perjanjian novasi bersyarat dengan JX Nippon dan YESB bagi cadangan novasi dan perjanjian pertimbangan dengan YESB.

"Syarikat sekarang sedang berada di peringkat akhir menyelesaikan cadangan novasi.

"Selepas selesai SoA itu, cadangan novasi serta komponen lain cadangan pelan penyusunan, tahap kadar hutang kami akan berkurangan dengan ketara dan kami berharap dapat menangani semua isu kelayakan audit utama," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X