Ahad, 13 Mei 2018 | 7:08pm

DBhd, CSCEM bida projek RTS JB-Singapura

KUALA LUMPUR: Damansara Realty Bhd (DBhd) menjalinkan kerjasama dengan China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd (CSCEM) untuk tender projek laluan rel Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Bahru-Singapura sepanjang empat kilometer.

Syarikat itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan CSCEM iaitu anak syarikat China State Construction Engineering Corporation's (CSCEC) bagi membida projek terbabit yang menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands, Singapura yang dijangka siap menjelang akhir 2024.

MoU itu bertujuan untuk membawa kepada perkongsian formal antara DBhd dan CSCEM jika tender itu berjaya dan meneruskan perjanjian muktamad.

Ketua Pegawai Eksekutif DBhd, Brian Iskandar Zulkarim, berkata kerjasama itu membawa kepada cadangan nilai kukuh yang menggabungkan kemahiran khusus, pengetahuan teknikal dan pengalaman bagi DBhd dan CSCEM.

"Kami sangat teruja untuk bekerjasama dalam projek RTS dengan CSCEM iaitu cabang Malaysia bagi salah salah sebuah syarikat pembinaan terbesar di dunia," katanya dalam kenyataan di sini.

CSCEC adalah syarikat China yang menduduki tangga ke-24 dalam kalangan 500 syarikat Fortune Global di mana ia memiliki kepakaran dalam pembinaan dan pembangunan infrastruktur khususnya bangunan tinggi, laluan rel, jambatan besar, lebuh raya dan pengangkutan rel bandar.

Pengarah Urusan CSCEM, Lyu En, berkata pihaknya percaya mereka memiliki kelebihan dalam projek RTS berdasarkan rekod prestasi kukuh dalam pengurusan dan kekuatan prestasi syarikat dalam infrastruktur.

"Dalam masa sama, kerjasama dengan DBhd ini dijangka akan meningkatkan lagi kejayaan kami dalam projek ini," katanya.

Selain pembangunan hartanah dan tanah (PLD), perniagaan teras DBhd turut membabitkan pengurusan kemudahan bersepadu (IFM) dan perundingan pengurusan projek (PMC) yang menawarkan perkhidmatan pembangunan dan perancangan, penyelenggaraan dan operasi, penyelesaian tempat letak kereta, penyelesaian pembayaran tanpa tunai dan pengurusan aset.

Berita Harian X