Selasa, 15 Mei 2018 | 2:34pm
DARI kiri; Datuk Seri Ir Azman Mohd, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin pada Mesyuarat Agung Tahunan TNB di Kuala Lumpur. - Foto Rosela Ismail
DARI kiri; Datuk Seri Ir Azman Mohd, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin pada Mesyuarat Agung Tahunan TNB di Kuala Lumpur. - Foto Rosela Ismail

TNB labur RM2.7 bilion teknologi Grid Masa Depan

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan melabur RM2.7 bilion ke dalam teknologi "Grid Masa Depan" yang akan membantu meningkatkan kecekapan grid.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Azman Mohd, berkata pelaburan RM2.7 bilion itu adalah daripada pelaburan modal RM18.8 bilion dalam grid transmisi dan agihan diperoleh di bawah Tempoh Kawal Selia kedua (2018-2020).

Katanya, TNB akan terus melabur di dalam pendigitalan dan automasi selain meningkatkan prestasi dan kebolehpercayaan.

"Ini termasuklah penggunaan berjadual 340,000 meter pintar di Melaka dan penggunaan tambahan 1.2 juta meter pintar di Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan TNB di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengerusi, Tan Sri Leo Moggie berkata TNB mengambil peluang daripada inovasi digital dan teknologi bagi operasi penjanaan dan grid, selain memperkenalkan produk dan perkhidmatan melangkaui meter.

Beliau berkata, loji lama yang tidak cekap sudah tidak dioperasikan dan digantikan dengan loji yang lebih cekap dan ekonomi.

Standard emas dalam loji kuasa arang, dinamakan teknologi ultra-supercritical, digunakan bagi loji baharu. Loji yang menggunakan teknologi itu meningkatkan tahap kecekapan 40 peratus, berbanding dengan 36 peratus menggunakan sistem arang batu kisar konvensional.

"Loji Kuasa Jimah East yang 70 peratus dimiliki kami dalam landasan memulakan operasi pada 2019. Loji itu, yang ketiga mengguna teknologi ultra-supercritical, akan menjana elektrik 2,000MW.

"Ini akan meningkatkan penguasaan kapasiti penjanaan TNB di Malaysia kepada 53.2 peratus, berbanding 51.2 peratus sekarang ini, sekali gus menyumbang kepada kestabilan sistem Grid Nasional," katanya.

Berita Harian X