Khamis, 17 Mei 2018 | 4:26pm
PENGERUSI SP Setia Berhad, Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Nordin (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk CJ Khor (dua kiri), Ketua Pegawai Operasi SP Setia Berhad, Datuk Wong Tuck Wai (kanan) dan Ketua Pegawai Keuwangan SP Setia Berhad, Choy Kah Yew (kiri) melihat isi kandungan di dalam buku laporan tahunan pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-43 SP Setia Berhad di Pusat Konvensyen Setia Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SP Setia yakin capai sasaran jualan RM5 bilion

SHAH ALAM: SP Setia Bhd berada dalam landasan baik untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, dipacu pengekalan momentum dan jualan kukuh yang dicapai setakat ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khor Chap Jen, berkata, pihaknya optimis terhadap sasaran itu berdasarkan jumlah jualan sebanyak RM1.1 bilion yang dicatatkan kumpulan pada suku pertama tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2018.

"Kami amat gembira dengan jumlah jualan yang dicapai pada suku pertama ini memandangkan tempoh itu boleh dianggap sebagai suku yang perlahan," katanya selepas mesyuarat agung tahunan SP Setia di sini, hari ini.

Syarikat itu berjaya mencatatkan pendapatan RM655.5 juta dan keuntungan sebelum cukai RM94.4 juta bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac 2018.

Untuk tempoh sama, ia juga merekodkan jualan RM1.11 bilion dengan projek tempatan menyumbang RM635.6 juta atau 58 peratus daripada jualan keseluruhan, manakala projek antarabangsa RM469.1 juta (42 peratus).

Sementara itu, Chap Jen berkata, pihaknya menjangkakan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan baharu mampu meningkatkan sentimen pembeli dalam situasi pasaran hartanah yang kini sedang mengalami trend menurun.

Bagaimanapun menurutnya, masih terlalu awal untuk menentukan impak yang akan diterima oleh pasaran hartanah tempatan melalui langkah pemansuhan itu.

"Ia masih terlalu awal untuk menentukan impak langkah ini kerana kerajaan juga berhasrat memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) namun, saya menjangkakan momentum peningkatan dalam hartanah komersil melalui pemansuhan GST ini kelak," katanya.

Rabu lalu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengumumkan GST terhadap semua barang dan perkhidmatan yang tertakluk kepada cukai itu akan dikenakan pada kadar sifar peratus bermula 1 Jun ini.

Berita Harian X