Khamis, 24 Mei 2018 | 2:14pm

Inisiatif digital, dagangan lonjak pendapatan Media Prima

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd merekodkan kenaikan signifikan perolehan pengiklanan digital, kandungan digital dan perolehan dagangan bagi tiga bulan berakhir 31 Mac 2018.

Ia menyaksikan peneraju kumpulan media bersepadu Malaysia itu mencatatkan pendapatan positif sebelum faedah, cukai,

susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM2.2 juta dan kerugian selepas cukai susut sebanyak 44 peratus bagi tiga bulan berkenaan.

Media Prima telah melunaskan perkara luar biasa tahun lalu dan memulakan tahun 2018 dengan bersih, yang mana keputusan positif ini menunjukkan kemajuan usaha transformasi kumpulan (Odyssey) untuk menjadi syarikat peneraju kandungan digital utama dan dagangan di Malaysia.

Ini termasuk mencipta lebih banyak kandungan aplikasi digital, penguasaan dalam jualan kandungan dan hak milik intelektual dalam pasaran baharu.

Inisiatif ini sudah mula diterjemahkan kepada perubahan dalam penambahan margin bagi tempoh suku pertama tahun kewangan.

Pendapatan kumpulan meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada RM280.7 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2018 berbanding RM272.2 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

Kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai yang rendah sebanyak RM23.0 juta bagi tempoh tiga bulan berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM41.4 juta pada suku pertama tahun lalu.

Media Prima, yang ketika ini menduduki tangga ketiga dalam capaian digital di Malaysia mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 98 peratus dalam segmen digital dalam suku pertama 2018.

Ini disumbangkan oleh perolehan pengiklanan yang tinggi daripada Rev Asia Holdings, salah sebuah syarikat media digital

terbesar di Asia Tenggara yang dimiliki Kumpulan pada Ogos tahun lalu, menyumbang sebanyak 47 peratus kepada perolehan Media Prima Digital.

Bagi segmen dagangan, perolehan daripada CJ Wow Shop meningkat sebanyak 58.8 peratus kepada RM44.0 juta daripada RM27.7 juta pada suku pertama 2017.

Perniagaan beli-belah dari rumah berjaya meningkatkan asas pelanggan sebanyak 19.8 peratus kepada jumlah keseluruhan 771,300 pembeli bagi dalam tempoh kajian.

Segmen ini dijangka memberi pulangan modal pada 2019.

Bagi Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), tonton masih kekal di tempat teratas sebagai perkhidmatan pelayaran video atas talian di Malaysia dengan jumlah pengguna berdaftar meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada 7.8 juta dalam tempoh tiga bulan.

Platform popular 'over-the-top' ini juga ditawarkan di Brunei dan Singapura, terus meningkat sebanyak 18,000 pengguna mingguan.

Strategi digital-utama kumpulan juga bermanfaat kepada The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) yang memberi fokus kepada usaha penerbitan digital.

Menurut Google Analytics, laman web Harian Metro merekodkan lebih 8.6 juta pelayar unik bulanan secara purata bagi tiga bulan

pertama tahun ini, mengekalkan kedudukan sebagai laman web nombor satu bagi berita dan maklumat di Malaysia.

Laman web BH (Berita Harian) berada di kedudukan kedua dengan jumlah keseluruhan 6.1 juta pelayar unik bulanan secara purata bagi suku pertama 2018.

Media Prima yakin strategi Odyssey akan terus memacu kepada pemulihan korporat.

Menuju ke hadapan, kumpulan akan mempercepatkan penjanaan pendapatan dengan memaksimakan aset utama dan pada masa sama mempelbagaikan sumber perolehan baru.

Kumpulan juga akan meninjau ke arah pemilikan, usaha sama dengan atau kerjasama strategik dengan sasaran untuk meningkatkan nilai pemegang saham dalam jangka panjang.

Berita Harian X