Selasa, 5 Jun 2018 | 4:46pm
PENGARAH Urusan RHB Insurance Bhd, Kong Shu Yin (kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, RHB Bank Group, Rohan Krishnalingam (tengah) dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, RHB Bank Group, Abdul Sani Abdul Murad hadir pada majlis perasmian Aplikasi Mudah Alih 'RHB Insurance' di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

RHB Insurance sasar RM5 juta premium

KUALA LUMPUR: RHB Insurance Bhd menyasarkan premium terkumpul berjumlah RM5 juta membabitkan 10,000 pemegang polisi dalam tempoh 12 bulan akan datang menerusi inisiatif digital yang dilancarkan.

Ia disokong oleh pelancaran aplikasi mudah alihnya, RHB Insurance, yang membolehkan pelanggan membeli polisi insurans dan cukai jalan hanya di hujung jari.

Pengarah Urusannya, Kong Shu Yin, berkata aplikasi berkenaan membolehkan pengguna membeli polisi insurans dalam tempoh hanya tiga minit, proses paling cepat yang pernah dicatatkan dalam industri kewangan.

Shu Yin berkata, sehubungan itu pihaknya turut menjangkakan pertumbuhan sehingga 10 peratus dalam premium bertulis kasar menerusi saluran digitalnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

"Kami yakin aplikasi RHB Insurance akan menjadi pemacu dalam usaha mentransformasikan pembelian insurans dan memperbaharui cukai jalan dengan hanya langkah mudah.

"Ini selari dengan tumpuan program transformasi digital kami untuk menawarkan interaksi yang ditambah nilai. Kami membina aplikasi mudah alih menerusi ekosistem digital yang membolehkan pelanggan, ejen dan rakan kongsi kami berhubung satu sama lain secara langsung," katanya ketika merasmikan Aplikasi Mudah Alih 'RHB Insurance' di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, RHB Bank Group, Rohan Krishnalingam dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, RHB Bank Group, Abdul Sani Abdul Murad.

Mengulas lanjut, Shu Yin berkata, aplikasi itu dibangunkan sepenuhnya oleh pakar teknologi dalaman membabitkan kos kurang RM1 juta.

Sempena ulang tahun ke-40 RHB Insurance, penyedia insurans itu turut melancarkan 'Kempen Dah Cover', dalam usaha menggalakkan rakyat Malaysia memiliki polisi insurans perjalanan dan kemalangan individu ketika dalam perjalanan di seluruh Malaysia.

Bagi memastikan rakyat Malaysia dilindungi ketika dalam perjalanan, RHB Insurance turut menawarkan diskaun sehingga 40 peratus bagi segmen insurans perjalanan dan kemalangan individu bermula 5 Jun hingga 4 September ini.

RHB Insurance menyediakan perlindungan insurans am untuk pelanggan peruncitan dan korporat. Ia adalah penyedia perlindungan insurans ke-10 terbesar di Malaysia dengan menguasai 4.3 pasaran.

Berita Harian X