Rabu, 6 Jun 2018 | 5:00pm
PENGARAH Urusan Kumpulannya, Zainal Abidin Abd Jalil

DNeX perkemas perniagaan

KUALA LUMPUR: Dagang NeXchange Bhd (DNeX) akan meneruskan langkah pengembangan teras perniagaannya dalam bidang teknologi maklumat (IT), e-perkhidmatan dan tenaga bagi memperkukuhkan prestasi kewangan dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Zainal Abidin Abd Jalil, berkata syarikat itu juga akan meninjau peluang untuk mempelbagaikan perniagaan dan perolehannya dalam perkhidmatan percukaian dan pendapatan serta pertahanan.

"DNeX komited untuk mewujudkan dan meneroka peluang perniagaan baharu dalam usaha memanfaatkan kompetensi teras kami termasuk membabitkan pelaburan strategik," katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan ke-48 DNeX di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi DNeX, Tan Sri Rahman Mamat; Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX, Datuk Samsul Husin; dan Pengarah Eksekutif DNeX, Datuk Wong Kam Yin.

Sektor IT dan e-perkhidmatan menyumbang kira-kira 70 peratus kepada pendapatan DNeX, manakala baki 30 peratus disumbangkan oleh sektor tenaga.

Setakat 31 Mei 2018, pemodalan pasaran DNeX berjumlah RM686 juta, meningkat empat kali ganda daripada RM163 juta pada 31 Disember 2015.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, DNeX mencatatkan keputusan kewangan positif selepas meraih pendapatan berjumlah RM204 juta, meningkat 14 peratus daripada RM178.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Setakat tahun lalu, DNeX memiliki jumlah aset bernilai RM502.9 juta berbanding liabiliti RM78.5 juta, manakala ekuiti pemegang saham mencecah RM426.9 juta.

Zainal Abidin berkata, pertumbuhan bagi tempoh terdekat, DNeX bakal dipacu oleh perniagaan kepada perniagaan yang ditawarkan kumpulan itu dalam syarikat pegangannya, Genaxis Sdn Bhd (Genaxis) dan Innovation Associates Consulting Sdn Bhd (IAC) yang terbabit dalam perkhidmatan kewangan dan perakaunan.

Selain itu, katanya, perkhidmatan lain termasuk kemudahan perdagangan rentas sempadan menerusi penerokaan pasaran baharu di rantau Asia Pasifik, penyelesaian teknologi pemantauan berfrekuensi radio (RFID) dan sistem kontena mudah alih serta mengembangkan perniagaan huluan minyak dan gas (O&G) juga bakal memacu pertumbuhan syarikat.

"Genaxis dan IAC dijangka meraih pendapatan RM50 juta hingga RM60 juta tahun ini, sekali gus akan memberi sumbangan yang positif kepada DNeX.

"Dengan harga minyak semakin pulih, kita menjangkakan ia memberi perkembangan positif kepada DNeX, malah langkah mesra kerajaan juga termasuk memberi penekanan kepada tender terbuka membolehkan kami bersaing untuk meriah kontrak kerajaan," katanya.

Berita Harian X