Isnin, 11 Jun 2018 | 12:18pm
Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi Naza TTDI, Datuk Idzham Mohd Hashim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi Naza TTDI, Datuk Idzham Mohd Hashim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KL Metropolis kekal pembangunan utama Naza TTDI

KUALA LUMPUR: Naza TTDI Sdn Bhd (Naza TTDI), cabang hartanah bagi Naza Corporation Holdings Sdn Bhd mengekalkan hartanah bercampur, KL Metropolis sebagai pembangunan utamanya di Lembah Klang.

Projek mega bernilai RM20 bilion itu dibangunkan di kawasan seluas 30.55 hektar.

Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi Naza TTDI, Datuk Idzham Mohd Hashim, berkata pihaknya menjangkakan pasaran hartanah yang suram sepanjang separuh pertama 2018 dan Naza TTDI mengambil langkah pemulihan yang diperkukuhkan oleh pembangunan destinasi perdagangan dan pameran terbesar di Malaysia itu.

"KL Metropolis terus menjadi fokus utama pembangunan. Jualan Met 1 Residences telah menunjukkan kenaikan bertambah. Kami yakin trend ini akan terus mengukuh menjelang separuh kedua tahun ini apabila kami melancarkan satu lagi produk di kawasan itu tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Met 1 Residences sudah memenangi anugerah Pembangunan Kondominium Terbaik (Amat Disyorkan) di Lembah Klang oleh PropertyGuru Asia Property Awards 2018 (APA), Malaysia.

Manakala KL Metropolis pula menerima anugerah Pembangunan Komuniti Lestari Terbaik oleh Property Insight Prestigious Developer Award 2018 (PIPDA) pada Jun 2018.

Beliau berkata, keyakinan syarikat turut disokong oleh sebuah lagi produk yang mensasarkan pelabur hartanah yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

"Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM350 juta, peluang pelaburan itu disasarkan kepada segmen hartanah yang potensinya belum pernah dimanfaatkan secara optimum," katanya yang turut yakin pasaran akan kembali bertambah baik.

Idzham berkata, keadaan pasaran yang tidak tentu dijangka kembali mereda apabila kerajaan memperkenalkan inisiatif baharu kepada masyarakat.

"Apabila pasaran kembali stabil dan sikap 'tunggu dan lihat' berkurangan, pasaran hartanah akan memperlihatkan perubahan positif dipengaruhi oleh permintaan dalam pasaran oleh golongan berpendapatan sederhana dan sederhana atas.

"Sebagai pemaju tempatan yang sensitif dengan permintaan tempatan, Naza TTDI akan memasuki pasaran dengan pembangunan yang menawarkan lokasi yang tepat, tawaran nilai yang betul dan rekaan inovatif untuk pelanggan.

"Selain itu, syarikat juga berminat untuk melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa dalam masa terdekat apabila mendapat peluang yang sesuai," katanya.

Pada separuh kedua 2018, Naza TTDI akan melancarkan komponen perniagaan MET 1 di KL Metropolis.

Dua lagi projek pembangunan yang masih di tahap pembinaan di KL Metropolis ialah MET Corporate Office Towers oleh Triterra Metropolis Sdn Bhd dan Art Mont Kiara oleh Nusmetro Sdn Bhd.

Berita Harian X