Ahad, 17 Jun 2018 | 5:23pm
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Aji. - Foto Sairien Nafis
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Aji. - Foto Sairien Nafis

UEM Sunrise perluas skim sewa beli

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd, merancang mengembangkan skim sewa milik (RTO), yang bermatlamat meringankan beban pembeli rumah kali pertama.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata skim itu disifatkan sebagai penyelesaian menambah nilai bagi mereka yang merancang untuk membeli rumah namun sedang membina kerjaya.

"Ini akan membolehkan pembeli muda merancang kewangan mereka dan memudahkan urusan untuk memperoleh pinjaman.

"Skim itu juga akan membantu mengurangkan projek/pembangunan yang kosong dan tidak terjual, yang mungkin mengakibatkan kos penyelenggaraan yang tidak perlu," katanya.

Anwar berkata, untuk itu, UEM Sunrise melancarkan skim RTO sendiri, UEM Sunrise - Pelan Milik EASY (mudah) pada Ogos tahun lepas, dan baru-baru ini pula mula menjalin usaha sama dengan Malayan Bank Bhd (Maybank) menawarkan skim HouzKey Maybank.

Menerusi skim itu, beliau berkata UEM Sunrise menawarkan dua projek utamanya - Verdi Eco-dominiums di Symphony Hills, Cyberjaya, dan Residensi Ledang di East Ledang, Iskandar Puteri, kedua-duanya siap pada tahun 2016.

"Kerjasama kami dengan Maybank ini sangat menggalakkan dan kami berjaya menjana minat dan membuat beberapa jualan.

"Projek usaha sama ini termasuk Serene Heights, Bangi, (Acacia Begonia & Dahlia) dan Verdi Eco-dominiums," katanya.

Ditanya sejauh mana impak ke atas sektor hartanah susulan rancangan kerajaan untuk memudahkan prosedur permohonan pinjaman perumahan, beliau berkata ia tidak akan menyelesaikan masalah utama.

"Kira-kira 25 peratus permohonan pinjaman perumahan ditolak, dengan ketidakcukupan pendapatan untuk menyokong pembayaran balik, sejarah kredit yang buruk dan pendapatan atau dokumentasi kewangan tidak mencukupi, merupakan antara alasan utama.

"Bank tetap berhati-hati dalam menilai keberkesanan sumber pendapatan dan komitmen kewangan peminjam," katanya.

Anwar berkata kira-kira 80 peratus pembelian dibatalkan disebabkan permohonan pinjaman ditolak oleh pembiaya akhir, justeru skim RTO sangat membantu pembeli hartanah, terutama pembeli rumah kali pertama.

"Skim RTO kami menjadi laluan alternatif untuk pembeli memiliki rumah, dan kami menawarkan tempoh penampan untuk pembeli rumah yang berpotensi bagi menyelesaikan masalah kewangan peribadi mereka dan menyediakan kedudukan kredit mereka sebelum membuat pinjaman," katanya. --BERNAMA

Berita Harian X